'Mahu jadikan Johor negeri pendidikan setaraf Singapura'
SIMPANG RENGGAM - [DIKEMAS KINI] Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang, Dr Maszlee Malik mahu jadikan Johor sebagai negeri berpendidikan setaraf dengan Singapura.
Beliau berkata, Johor perlu menjadikan Singapura yang merupakan negara termaju di Asia Tenggara. sebagai kayu ukur untuk menyasarkan peluang pendidikan sekata dan berkualiti bagi negeri tersebut.
Tambahnya, pendidikan bukan hanya sekadar terletak di tanggungjawab kerajaan pusat tetapi juga kerajaan negeri.
"Tekad saya kali ini untuk menjadikan Johor sebagai negeri berpendidikan dan ini menjadi agenda utama yang kita ingin sasarkan.
"Mungkin ada yang mengatakan pendidikan ini milik kerajaan pusat tetapi kerajaan negeri boleh menyediakan prasarana ekosistem, fasiliti dan juga insentif untuk memungkin pendidikan tidak diabaikan dan menjadi agenda utama,
"Selangor contohnya dah melakukan banyak insentif daripada kelahiran sehingga kematian antaranya pendidikan, tuisyen percuma, sumbangan one-off ke institut pengajian tinggi (IPT) dan sekarang mereka pergi kepada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
"Di Johor saya boleh mewujudkan ekosistem pendidikan tersebut dan mungkin lebih daripada itu," katanya dalam Program Sinar Live Khas sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Isnin yang dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar sebagai moderator.
Dalam pada itu, beliau ingin meletakkan Johor di peta dunia dari segi ekonomi, industri dan hubungan serantau yang akan membawa perubahan kepada negeri itu.
Tambahnya, peluang pekerjaan juga akan diperbanyakkan dengan melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran, mempunyai kepakaran dan berkebolehan berbahasa Inggeris.
"Jadi kita meletakkan sasaran untuk menjadikan Johor sebagai hub latihan TVET, teknikal dan kolaborasi industri.
"Kerajaan negeri boleh memainkan peranan dengan memberikan insentif terhadap kolaborasi ini. Kita lihat contoh di Pulau Pinang mereka telah melaksanakannya dengan masyarakat dari Jepun, saya kira kita mampu membawa lebih banyak pelabur dari negara luar.
"Ini untuk membantu kita bersama menyediakan ekosistem membekalkan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran kerja baik serta berkualiti disamping usaha meningkatkan keupayaan berbahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat dan anak-anak.
"Ini supaya mereka mendapatkan kerja yang lebih elok dan bayaran lebih baik," ujarnya.
Sementara itu, Maszlee berkata, akan cuba mengatasi masalah isu perumahan dan pemilikan tanah yang tidak sempat diselesaikan dalam tempoh pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan itu.
"Isu perumahan dan pemilikan tanah ini memang zaman-berzaman berlaku dalam tempoh pemerintahan PH.
"Selama 22 bulan kita cuba untuk mengatasinya tetapi tempoh itu terlampau singkat dan kita menyasarkan apabila kembali kepada kerajaan negeri maka kita boleh teruskan dan mulakan," ujarnya.
Tambah beliau, cita-citanya juga untuk menjadikan negeri Johor mesra orang kurang upaya (OKU), dari peringkat kanak-kanak sehingga warga tua.
"Kita ingin melihat prasarana, peluang pendidikan, kesihatan dan ekosistem kepada golongan OKU ini.
"Kita akan jadikan Johor negeri model dan itu tekad saya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!