Pelayan restoran diherdik tegur pelanggan merokok
SHAH ALAM – "Ada pelanggan keras kepala, bila staf (pekerja) tegur jangan hisap rokok dia tengking dan marah," kata Kamaldin Nor Mohamad, 37, pembantu pengurus restoran mamak di kawasan U5 di sini.
Menurutnya, tindakan tersebut menyebabkan pekerjanya kini takut untuk menegur pelanggan yang merokok di kawasan berbumbung restorannya.
“Restoran kami memang letak papan tanda larangan merokok tapi ada pelanggan yang merokok macam tidak ada apa-apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.
Dia berkata, ada juga pelanggan pulang begitu sahaja tanpa membuat bayaran makanan yang dipesan gara-gara ditegur supaya tidak merokok di dalam premis.
“Selalunya mereka yang tidak boleh ditegur adalah pelanggan yang berusia sekitar awal 50 tahun dan warga warga emas tetapi bukan semuanya begitu,” katanya yang sudah enam tahun bekerja di restoran berkenaan.
Kamaldin berkata, sikap segelintir pelanggan yang tidak mahu mengikut peraturan itu menyebabkan pengurusan restoran sering dipersalahkan setiap kali operasi penguatkuasaan dilaksanakan pihak berkuasa.
Berkongsi pengalaman yang sama, pemilik Street Chef Corner Presint 10, Putrajaya, Yusri Mohd Yunus, 43, mengakui pernah di maki pelanggan dengan bahasa kesat hanya kerana pekerjanya mengarahkan seorang pelanggan menghisap vape di luar premisnya.
“Saya hanya ikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu perbuatan merokok wajib dilakukan di luar premis pada jarak tiga meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis makanan,” katanya.
Jelasnya lagi, tak salah untuk menegur demi kebaikan kerana merokok di dalam premis tertutup memang mengganggu pelanggan lain yang sedang menikmati juadah mereka.
Bagi Erman Mohd Yusop, 44, pula berpendapat menegur mereka yang merokok di kedai makan ada caranya.
“Saya lebih suka guna cara diplomasi bukan menegur dengan cara yang nampak kasar jika ada pelanggan yang merokok di dalam premis,” katanya yang mengusahakan perniagaan masakan asam pedas di Warisan D’ Tanjung, Seksyen 6, Kota Damansara.
Baginya, sama ada berani atau tidak menegur pelanggan yang merokok di dalam premis lebih kepada budi bicara atau kesanggupan pemilik premis berdepan tindakan oleh pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!