Polis siasat perbuatan bakar bendera parti politik

Kamarul Zaman (kanan) beramah mesra dengan pelanggan sebuah restoran ketika membuat pemantauan perjalanan kempen calon-calon bertanding pada PRN Johor di Taman Bukit Indah, Johor Bahru pada Isnin
Kamarul Zaman (kanan) beramah mesra dengan pelanggan sebuah restoran ketika membuat pemantauan perjalanan kempen calon-calon bertanding pada PRN Johor di Taman Bukit Indah, Johor Bahru pada Isnin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis akan melakukan siasatan terhadap perbuatan khianat merosak dan membakar bendera sebuah parti politik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Kluang pada Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya akan memanggil wakil-wakil parti politik bagi melakukan siasatan.

"Memasuki hari ketiga berkempen, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku kecuali kejadian beberapa bendera parti dibakar. Insiden ini diketahui pagi tadi dan kita memandang serius perkara ini.

"Saya beri jaminan kita akan siasat perkara ini. Selain itu kita juga akan meningkatkan rondaan dan menambahkan lagi pasukan pemantau untuk memastikan tiada tindak balas berlaku atau kejadian sama berulang, biar polis selesaikan perkara ini.

"Sehubungan itu saya menasihatkan semua pihak, parti politik dan penyokong mereka untuk bertenang dan berkempen secara sihat serta positif dan jangan ambil tindakan yang boleh menyebabkan berlakunya kekacauan sepanjang tempoh PRN Johor ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke beberapa lokasi kempen yang dijalankan calon-calon parti politik bertanding di sekitar bandar raya ini pada Isnin.

Pada pagi Isnin, beberapa helai bendera sebuah parti dibakar di DUN Layang-Layang manakala beberapa papan poster melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa telah dirosakkan melibatkan kawasan DUN Tenggaroh.

Selain itu, Kamarul Zaman turut mengingatkan semua pihak yang terlibat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mahu semua parti politik mengikut tempoh masa kempen yang dibenarkan iaitu hingga jam 10 malam dan tidak meminta ia dilanjutkan.

"Pematuhan kepada SOP ini bukanlah satu perkara yang terlalu sukar untuk dilaksanakan, kalau masih berdegil kita akan ambil tindakan, mudah sahaja," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!