Kejohanan Renang Remaja Dunia di Rusia batal
PERSEKUTUAN Renang Antarabangsa (FINA) membatalkan Kejohanan Renang Remaja Dunia yang dijadualkan berlangsung di Kazan, Rusia, pada hujung Ogos depan, berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
FINA berkata, badan induk itu mengambil ketetapan untuk membatalkan acara dwitahunan tersebut selepas mengadakan rundingan dengan atlet dan pihak berkepentingan.
“FINA tidak akan mengadakan sebarang acara di Rusia pada masa depan, sekiranya krisis besar sebegini masih berterusan,” kata persekutuan tersebut dalam satu kenyataan.
Tambah badan induk yang berpangkalan di Switzerland itu, FINA akan memberikan segala sokongan dan bantuan kepada ahli keluarga akuatik yang terjejas berikutan pencerobohan tentera Rusia, sejak Khamis lalu yang mengundang kecaman daripada pelbagai badan induk sukan dunia.
Pada Jumaat, FINA membatalkan perlawanan polo air Liga Dunia di St Petersburg bulan depan manakala Siri Dunia Renang dan Terjun Artistik yang dijadualkan April di Kazan juga dibatalkan.
Sementara itu, Persekutuan Renang Kebangsaan Australia mengalu-alukan keputusan FINA tidak akan menghantar pasukan ke mana-mana acara renang lain yang dijadualkan di Rusia, termasuk kejohanan kursus pendek dunia pada Disember.
“Renang Australia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Rusia dan terkejut dengan perkembangan di Ukraine,” kata persekutuan itu dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Renang Australia, Eugenie Buckley berkata, faktor utama mendorong kepada pemboikotan FINA adalah atas elemen keselamatan.
“Kami juga ingin melihat FINA mempertimbangkan untuk menempatkan semula acara ini ke lokasi alternatif supaya perenang Australia berpeluang bersaing dalam persekitaran yang selamat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!