Tak sempat jual satu tan buah sawit curi

Lori bersama buah sawit dan beberapa peralatan digunakan suspek dirampas pihak polis untuk siasatan lanjut.
Lori bersama buah sawit dan beberapa peralatan digunakan suspek dirampas pihak polis untuk siasatan lanjut.
A
A
A

TELUK INTAN - Empat lelaki diberkas polis selepas melarikan satu tan kelapa sawit yang dicuri di sebuah pusat pengumpulan hasil pertanian itu di Kampung Selabak, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 4 pagi selepas pengawal keselamatan di pusat pengumpulan kelapa sawit berkenaan menyedari kehadiran mencurigakan sebuah motosikal dan sebuah lori yang memasuki kawasan premis itu.

Menurutnya, selepas melihat beberapa lelaki mengambil kelapa sawit di dalam premis itu, pengawal keselamatan berkenaan terus menghubungi pihak polis memaklumkan kejadian tersebut.

"Bertindak di atas maklumat, sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan sekitar kawasan Teluk Intan telah pergi ke kawasan tersebut dan telah terserempak dengan empat orang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang memasukkan buah sawit ke bahagian belakang lori.

"Ketika anggota polis menghampiri lori tersebut untuk membuat pemeriksaan, tiba-tiba kesemua suspek masuk ke dalam lori untuk melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.

Ahmad Adnan berkata, anggota polis tersebut kemudian mengekori suspek hingga ke jalan keluar dan berjaya menahan lori berkenaan sebelum kesemua mereka yang berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Hilir Perak untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pihak polis turut merampas sebuah lori dengan muatan 40 tandan kelapa sawit dengan anggaran satu tan metrik, empat batang besi mengangkat buat kelapa sawit dan dua kereta sorong.

Jelasnya, keempat-empat suspek yang juga penganggur itu direman selama empat hari sehingga 3 Mac untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua suspek yang merupakan warga tempatan itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana melakukan kegiatan curi.

Kesalahan tersebut membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!