Buru Jho Low untuk alih kegagalan 'rejim Mahathir'
Memetik laporan Malaysiakini, Jho Low membuat dakwaan berkenaan dalam suatu kenyataan yang dikeluarkan sebuah syarikat perhubungan awam di Sydney, Australia bagi pihaknya.
Dakwa Jho Low, pentadbiran PH, pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengabaikan kedaulatan undang-undang dan salah tafisr perlembagaan.
“Pendakwaan ini bertujuan mencipta sebuah lagi rasa selamat palsu kerana kerugian politik yang dibawa rejim Mahathir sendiri disebabkan kegagalannya dalam isu-isu semasa; mengabaikan kedaulatan undang-undang; dan salah tafsir Perlembagaan yang disengajakan.
“Ia tidak lebih daripada kelangsungan perbicaraan oleh media dan tindak balas politik oleh rejim Mahathir," jelasnya.
Jho Low sekali lagi mengulangi pendiriannya yang beliau tidak bersalah pada semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
“Cukup jelas yang dia tidak boleh mendapat perbicaraan adil di Malaysia, di mana rejim berulang kali membuktikan yang mereka tidak berminat (menghormati) kedaulatan undang-undang,” kata kenyataan itu lagi.
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low dan empat individu lagi.
Empat individu itu ialah Eric Tan Kim Loong, 40, Tang Keng Chee, 53, Geh Chong Heng, 47, yang ketiga-tiganya merupakan pegawai 1MDB dan seorang wanita, Loo Ai Swan, 45, bekas peguam 1MDB.
Jho Low dan keempat-empat individu itu dikatakan menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.
Melalui carian efiling mahkamah, Jho Low dan keempat-empat individu itu sepatutnya didakwa hari ini secara in absentia iaitu tanpa ketidakhadiran tertuduh, di empat Mahkamah Sesyen berasingan.
Media sebelum ini melaporkan, Jho Low yang diburu polis dan dikehendaki Malaysia, Singapura dan beberapa negara lain dipercayai bersembunyi di China atau Abu Dhabi namun sehingga kini tidak diketahui di mana sebenarnya dia berada.
Pada 15 Jun lalu Jabatan Imigresen membatalkan pasport ahli perniagaan itu atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia susulan siasatan skandal 1MDB.
Pada 24 Ogos lalu, Mahkamah Sesyen Putrajaya mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low dan bapanya, Tan Sri Low Hock Peng juga bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.
[ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah keluar waran tangkap terhadap Jho Low]
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!