Boleh guna Bahasa Melayu, tapi tingkat penguasaan Bahasa Inggeris

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM- Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 berpandangan Bahasa Melayu harus digunakan dengan terjemahan Bahasa Inggeris serentak dalam mesyuarat dan majlis antarabangsa.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, kumpulan itu berkata, kekurangan penguasaan Bahasa Inggeris yang digunakan boleh menjejaskan imej negara dan terjemahan boleh memberi ruang kepada salah tafsir.

“G25 mengakui bahawa sesetengah menteri dan pegawai kerajaan kita mungkin tidak menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Apa yang penting, semasa mesyuarat dan majlis antarabangsa ialah kita jelas dan faham serta boleh mengambil bahagian secara bermakna dalam perbincangan peringkat tinggi tersebut.

“Daripada beralih kepada monolingualisme, kerajaan harus mempromosikan pengajaran bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa lain, terutamanya bahasa Mandarin, di sekolah kebangsaan dan institusi pengajian tinggi.

“Ini bagi memastikan bahawa rakyat Malaysia dan terutamanya penjawat awam kita menguasai banyak bahasa dengan penekanan khusus pada penguasaan bahasa Inggeris,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini bahawa Bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang digunakan pada setiap majlis rasmi, termasuk mesyuarat antarabangsa.

Menurut G25, Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa yang paling banyak digunakan dan merupakan salah satu daripada enam bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan bahasa kerja ASEAN.

Ia juga adalah bahasa utama perbincangan antarabangsa, perbahasan, mesyuarat dan perundingan dalam Majlis Keselamatan PBB.

Artikel Berkaitan:

“Penggunaan berterusan bahasa Inggeris dalam majlis, perhimpunan dan persidangan antarabangsa bukan sahaja memastikan ia difahami oleh semua peserta tanpa memerlukan terjemahan serentak, tetapi ia juga menunjukkan keupayaan rakyat Malaysia untuk menggunakan bahasa Inggeris dengan cekap.

“Atas sebab inilah kebanyakan peserta dalam mesyuarat antarabangsa lebih suka menggunakan bahasa Inggeris, walaupun bahasa kebangsaan mereka adalah salah satu bahasa rasmi atau bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” jelas kenyataan itu.

Jelas G25, sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu kita harus berbangga dengan bahasa kebangsaan dan penguasaannya di kalangan rakyat Malaysia mesti digalakkan.

Namun, pada masa sama, kita juga harus berbangga kerana rakyat Malaysia mampu bercakap lebih daripada satu bahasa, terutamanya bahasa yang paling banyak digunakan di dunia.

“Kita harus ingat bahawa Malaysia berbangga menjadi sebuah negara berbilang budaya dan berbilang bahasa, sesuatu yang tidak semua negara boleh buktikan. Menggunakan bahasa Inggeris dalam sfera antarabangsa hanya akan menguatkan lagi identiti kita yang mempunyai berbilang bahasa,” jelas kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!