Liga Europa: Aksi RB Leipzig, Spartak Moscow mungkin batal
KETUA Pegawai Eksekutif RB Leipzig, Oliver Mintzlaff berkata, kelab Bundesliga Jerman itu mengandaikan perlawanan pusingan 16 terbaik Liga Europa menentang sensasi Rusia, Spartak Moscow akan dibatalkan.
"Kami terus berhubung rapat dengan persatuan dan mempunyai keyakinan penuh dengan keputusan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA). Kami menganggap perlawanan akan dibatalkan," kata Mintzlaff dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, RB Leipzig akan menjadi tuan rumah Spartak Moscow pada perlawanan pertama pada 10 Mac diikuti perlawanan kedua dijadualkan pada 17 Mac, namun pertembungan tersebut seakan samar berikutan pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine.
Menguatkan lagi desas-desus itu apabila kementerian pengangkutan Jerman pada hujung minggu berkata, ia akan menutup ruang udaranya kepada pesawat dan syarikat penerbangan Rusia selama tiga bulan.
Sebelum ini, media Jerman melaporkan bahawa UEFA merancang untuk mengeluarkan Spartak Moscow daripada kejuaraan Eropah tahap kedua tersebut.
UEFA sebelum ini berkata, perlawanan di tempat sendiri kelab dan pasukan kebangsaan Ukraine dan Rusia yang bersaing dalam pertandingan UEFA akan dimainkan di tempat berkecuali sehingga diberitahu kemudian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!