Negeri Sembilan mampu bertahan lebih lama di Liga Super
JUARA Liga Premier, Negeri Sembilan FC optimis akan dapat mempertahankan kedudukan skuad Hoben Jang Hoben dalam penampilan sulung saingan Liga Super musim ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri berkata, skuad Rusa tersebut perlu memastikan skuad mampu bertahan lebih lama dalam saingan Liga Super kali ini.
"Syukur kerana NSFC dapat kembali beraksi di Liga Super. Kita mahu pasukan menunjukkan prestasi membanggakan, dan sasaran kami dapat kekal beraksi bukan hanya untuk satu musim tetapi seterusnya.
"Kita tidak mahu hanya beraksi bagi satu musim dan turun liga...pasukan perlu menunjukkan saingan sengit untuk terus kekal di dalam Liga Super,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian jersi pasukan dan memperkenalkan pasukan NSFC bagi Liga Super di Seremban.
Turut hadir Timbalan Presiden PBNS Datuk Dr Razali Ab Malik dan Naib Presiden PBNS Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani.
Beliau berkata, persatuan telah membuat persiapan rapi mengenai pengurusan perbelanjaan pasukan musim ini, meskipun lebih tinggi berbanding ketika skuad berada di Liga Premier.
Katanya, PBNS dapat mengatur perbelanjaan dalam saingan Liga Super lebih awal, dengan mengumpul dana mencukupi untuk pasukan kekal kompetitif musim ini.
Dalam pada itu, Tunku Syed Razman berkata tiada kenaikan harga tiket dikenakan kepada penonton, bagi menarik lebih banyak penyokong hadir ke stadium pada musim ini.
Sementara itu, kapten pasukan Mohamad Zaquan Adha Abd Razak berkata, pasukan bersemangat memulakan saingan liga musim ini, dan yakin mampu bertahan lebih lama dalam saingan Liga Super.
"Saya optimis dengan sasaran pihak pengurusan... pasukan perlu ada saingan yang lebih kompetitif supaya kami dapat tambah baik prestasi pasukan dalam saingan liga musim ini,” katanya.
Pada majlis berkenaan NSFC turut memperkenal lima pemain importnya iaitu Herold Mark Goulon dari Perancis, Omid David Nazari (Filipina), David Mawutor (Tajikistan), Evanonye Kossi Adetu (Ghana) dan Matheus Alves Leandro (Brazil). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!