RM50,000 hangus terbakar
SEREMBAN – Duit simpanan berjumlah RM50,000 hangus sekelip mata, apabila rumah yang didiami terlibat kebakaran malam kelmarin.
Mangsa, S Saroga, 40, berkata, wang tersebut merupakan simpanannya untuk membuat pengubahsuaian rumah di Taman Seri Permata, dekat sini, dan dikeluarkan dua hari lalu untuk dibayar kepada kontraktor.
“Duit itu sebelum ini saya simpan dalam bank, tetapi dua hari lalu saya keluarkan dari bank untuk bayar kepada kontraktor sepatutnya hari ini (semalam), tetapi malam tadi (kelmarin) rumah saya pula terbakar dan semuanya hangus.
“Tiada satu barang pun sempat dibawa keluar, saya dan keluarga kini tinggal sehelai sepinggang, semua benda, duit 1 sen pun tak sempat ambil sebab api marak dengan cepat,” katanya kepada Sinar Harian.
Saroga berkata, dia kini buntu dan seakan hilang separuh nyawa apabila mengenangkan duit simpanan untuk membuat rumah, terbakar begitu sahaja.
Katanya yang menyewa di rumah itu sejak lapan bulan lalu, hidupnya seperti kosong apabila mengingatkan duit berjumlah RM50,000 itu hangus begitu sahaja, tanpa sempat digunakan untuk membuat rumah.
Menceritakan kejadian, pada waktu itu, hanya dua anaknya sahaja berada di rumah berikutan dia dan suami keluar bekerja.
“Kira-kira jam 8.40 malam, anak telefon dan beritahu rumah terbakar, mereka kemudiannya panjat pagar belakang keluar menyelamatkan diri kerana bahagian luar dan depan rumah ada api.
“Saya bersyukur anak saya semuanya selamat, walaupun semua harta dan wang simpanan sudah hangus, tetapi Tuhan telah lindungi anak saya,” katanya.
Menurut Saroga, dia kini menumpang di rumah ibunya dekat Seremban Jaya, sementara memikirkan alternatif lain untuk mendapatkan bantuan.
Sementara itu, ADUN Paroi, Mohd Taufik Abd Ghani berkata, terdapat tiga keluarga yang terjejas dalam kebakaran tersebut dan mereka sudah pun dikenalpasti.
Katanya, bagi permulaan ini, pihaknya akan menghulurkan bantuan kilat berjumlah RM500 daripada Pejabat DUN Paroi kepada setiap keluarga yang terlibat untuk membantu meringankan beban mereka menguruskan keperluan harian.
“Kita juga akan meneliti status pemilikan tanah di kawasan terjejas bagi membolehkan kerajaan negeri membantu membina semula rumah yang terbakar itu.
“Namun untuk sementara waktu ini, mana-mana mangsa yang memerlukan tempat penginapan, kita akan sediakan rumah milik kerajaan negeri atau Majlis Perbandaran Seremban (MPS) bagi membolehkan mereka tinggal di situ, selain bantuan-bantuan lain yang akan dihulurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Tambah Exco Belia dan Sukan itu juga, pihaknya akan membantu menguruskan keperluan sekolah anak-anak mangsa kebakaran ini dengan membantu menyediakan kelengkapan sekolah, termasuk pemberian semula buku teks yang akan diuruskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah.
ARTIKEL BERKAITAN: Lima rumah musnah terbakar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!