PICKids: Jangan ‘racun’ ibu bapa yang masih keliru
MINGGU lepas, sempatlah Merak Jalanan temankan anak-anak yang berusia lapan dan 10 tahun dapatkan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin di Shah Alam.
Memang tak sangka, di sebalik pelbagai komen negatif ibu bapa yang tidak bersetuju dengan Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids), rupanya ramai yang datang memenuhi dewan.
Merak Jalanan juga kagum kerana kebanyakan mereka adalah kanak-kanak sekitar usia lima dan enam tahun yang walaupun awalnya nampak gusar bila rakan-rakan sebaya kena cucuk, namun mula tersenyum riang apabila berjaya melakukannya.
Setakat minggu lepas, Sarawak, Melaka, Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang adalah negeri mencatat peratusan tertinggi dalam pemberian vaksin kanak-kanak iaitu antara 20 hingga 30 peratus.
Statistik ini menjadi bukti ramai ibu bapa mula sedar kepentingan vaksinasi.
Dari pemerhatian Merak Jalanan juga, yang paling ramai hadir adalah kaum Cina dan India.
Ke mana perginya segelintir kaum Melayu? Mereka masih takut kerana lebih percaya berita palsu mengenai vaksin Covid-19 yang tersebar luas di media sosial?
Walaupun Kementerian Kesihatan berusaha keras menyampaikan fakta betul mengenai vaksin, ramai masih mengambil sikap tidak mahu percaya dan mahu tunggu dan lihat.
Malah sebelum ini Mufti Kelantan, Datuk Mohamed Shukri Mohamed juga menyatakan yang PICKids sudah diputuskan Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebagai mengikut garis panduan dibenarkan.
Jika agama mengatakan ia baik, apa lagi alasan kita untuk menidakkannya?
Buat ibu bapa yang masih keliru, buatlah keputusan terbaik untuk anak-anak.
Kalau tak setuju pun tak perlulah ‘cucuk’ orang lain supaya jangan benarkan anak mereka terima vaksin.
Kita kena jaga kita, bukan kita ‘racun’ kita!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!