Singapura kecam serangan Rusia terhadap Ukraine
SINGAPURA - Singapura mengecam serangan Rusia terhadap Ukraine dan akan mengenakan kawalan eksport ke atas barangan yang boleh digunakan tertentu secara langsung sebagai senjata di Ukraine untuk mengancam keselamatan dan menundukkan rakyatnya.
Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan berkata Singapura juga akan menyekat bank tertentu Rusia dan transaksi kewangan yang berkaitan dengan negara itu.
"Langkah-langkah khusus sedang diusahakan dan akan diumum dalam waktu terdekat,” katanya dalam Kenyataan Menteri mengenai situasi di Ukraine dan implikasinya yang disampaikan di Parlimen hari ini.
Balakrishnan berkata Singapura mesti menjangkakan langkah-langkah itu akan memberi sedikit kesan terhadap perniagaan, rakyat, dan pastinya, kepada republik itu.
"Bagaimanapun, sebagai sebuah negara kecil, kita perlu mempertahankan prinsip yang menjadi asas kepada kemerdekaan dan kedaulatan negara-negara kecil, hak kita sendiri untuk wujud dan makmur sebagai sebuah negara yang mungkin juga dipersoalkan suatu hari nanti,” katanya.
Balakrishnan menyatakan Singapura sentiasa mematuhi sepenuhnya sekatan dan keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi "kami jarang bertindak untuk mengenakan sekatan ke atas negara lain tanpa adanya keputusan atau arahan Majlis Keselamatan."
"Bagaimanapun, menyaksikan tindakan Rusia terhadap Ukraine, dan veto yang sudah dijangka oleh Rusia terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan, Singapura berhasrat untuk bertindak bersama-sama dengan banyak negara lain yang bersependapat untuk mengenakan sekatan yang sewajarnya terhadap Rusia,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!