Pelabuhan Malaysia tidak berurusan secara langsung dengan Ukraine

Pelabuhan-pelabuhan di Malaysia tidak berurusan secara langsung dengan mana-mana pelabuhan di Ukraine. - Gambar hiasan
Pelabuhan-pelabuhan di Malaysia tidak berurusan secara langsung dengan mana-mana pelabuhan di Ukraine. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pelabuhan-pelabuhan di Malaysia tidak berurusan secara langsung dengan mana-mana pelabuhan di Ukraine, sebaliknya, lebih menumpukan pelabuhan di Turki dan Malta 2, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Beliau berkata justeru, kesan langsung akibat krisis Rusia-Ukraine yang masih diteliti pihaknya bukanlah dari segi impak ke atas pelabuhan tetapi terhadap perniagaan.

"Secara langsungnya kita tidak berurusan dengan pelabuhan di Ukraine, kecuali kita ada komitmen atau kesalinghubungan pelabuhan-kepada-pelabuhan...tetapi ini lebih kepada pelabuhan, dengan pelabuhan Turki dan Malta.

"Dalam soal ini kita masih lagi melihat kesannya, bukan kesan kepada pelabuhan...kita melihat kepada perniagaan dan kita kekal berpandukan Wisma Putra dan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran serta Persidangan Pelabuhan dan Perkapalan ASEAN ke-19 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesan konflik Rusia-Ukraine secara langsung ke atas pelabuhan Malaysia.

Ka Siong berkata, Malaysia berpandukan dasar kerajaan yang sentiasa menghormati keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang selain apa juga komitmen negara kepada antarabangsa akan dipatuhi.

Selain itu, beliau juga berkata, dua pelabuhan Malaysia berjaya menempa kedudukan sebagai antara 20 pelabuhan paling sibuk di dunia pada 2021. Pelabuhan Klang di Selangor mengekalkan prestasinya di kedudukan ke-12 manakala Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor berada di kedudukan ke-15, katanya.

"Pelabuhan Klang sebenarnya mampu mengatasi Pelabuhan Dubai dengan beza TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) sebanyak 20,000 sahaja sekiranya negara tidak menghadapi kekangan akibat banjir pada hujung tahun lepas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ka Siong berkata, secara purata operasi seharian di pelabuhan tersebut adalah sekitar 35,000 TEU.

Bagaimanapun, Malaysia berjaya merekodkan pencapaian luar biasa bagi sektor maritim pada 2021 dalam situasi kekangan ekoran pandemik Covid-19, katanya.

"Pada mulanya sektor ini mengalami penguncupan tetapi kemudian pulih dengan cepat. 90 peratus daripada perdagangan kita adalah melalui laut.

"Jadi, sebab itulah kenapa ‘no shipping, no shopping’ (tiada penghantaran melalui kapal, tiada beli-belah). Ini merupakan sumbangan terbesar maritim di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan akan meneruskan usaha yang bukan sahaja untuk mengekalkan prestasi sektor tersebut malah demi masa depannya.

"Kita kena buat transformasi dari segi digitalisasi, dari segi pengoperasian, elektronik dan tanpa kertas serta pada masa sama mengurangkan masa menunggu dan lebih memfokuskan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Secara berasingan, Pengerusi Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (MASA) Mohamed Safwan Othman berkata persatuan menjangka kapal Rusia akan mendapat sekatan daripada banyak negara termasuk Amerika Syarikat.

"Kami sedang menunggu keputusan rasmi daripada kerajaan kita berhubung isu ini. Kami akan terus berbincang dengan Kementerian Pengangkutan mengenai perkara ini,” katanya sambil menambah Malaysia mengimport arang batu dari Rusia tetapi hanya kira-kira kurang lima peratus daripada jumlah import.

Bagaimanapun, import ini tidak semestinya menggunakan 100 peratus kapal berkaitan Rusia, katanya.

"Kami turut mengimport petroleum ditapis dan petroleum mentah dari Rusia dan kami mengeksport kebanyakan daripada petroleum mentah gred tinggi kami. Kami turut mengimport banyak jentera elektrik,” katanya.

Mohamed Safwan berkata, Malaysia mengeksport getah dan minyak sawit melalui kapal asing. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!