Pelan HIJRAH24 diperkenal untuk kukuhkan TH

HIJRAH24 akan menyokong usaha kerajaan untuk terus memperkukuhkan semua syarikat GLIC dalam membantu pemulihan ekonomi negara. (Gambar kecil - Ahmad Marzuk)
HIJRAH24 akan menyokong usaha kerajaan untuk terus memperkukuhkan semua syarikat GLIC dalam membantu pemulihan ekonomi negara. (Gambar kecil - Ahmad Marzuk)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) telah merangka Pelan Transformasi Strategik 2022-2024 iaitu pelan tiga tahun yang dinamakan HIJRAH24 bagi meneruskan usaha pengukuhan selaras dengan mandat penubuhannya untuk menguruskan simpanan umat Islam yang mahu menunaikan ibadah haji.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, perancangan itu juga selari dengan pelantikan Tan Sri Azman Mokhtar sebagai Pengerusi TH yang baharu bermula Disember tahun lalu.

Beliau berkata, pelan itu juga akan menyokong usaha kerajaan untuk terus memperkukuhkan semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam membantu pemulihan ekonomi negara.

“HIJRAH24 meliputi transformasi lima teras utama iaitu Pengurusan Pelaburan, Pengurusan Haji, Pengurusan Deposit, Modal Insan dan Tadbir Urus, pelan ini akan menentukan arah transformasi TH untuk menjadi organisasi berprestasi tinggi dan mampan.

“Ia merangkumi dua puluh empat inisiatif strategik termasuk inisiatif sokongan Digitalisasi dan Komunikasi. Ini termasuk usaha untuk mengukuhkan Akta Tabung Haji 1995 dan menambahbaik model operasi serta aspek tadbir urus TH.

“Hasil semakan dan pindaan Akta Tabung Haji akan dibentangkan di Parlimen dan pelan strategik HIJRAH24 juga akan diumumkan kepada umat Islam khususnya pendeposit TH,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pas-Bachok) yang meminta Perdana Menteri menyatakan dasar dan perancangan yang telah dirangka setelah perlantikan Azman dalam mengembalikan keyakinan pendeposit.

Tambah Ahmad Marzuk, perancangan dan tindakan telah serta akan terus diatur secara strategik dan bersasar untuk memastikan TH lebih berdaya saing dan kekal relevan bagi tahun mendatang.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!