Dakwa air bersih 'terbuang', penduduk gesa SADA siasat
SUNGAI PETANI - Pihak berkaitan digesa menyiasat dakwaan berlaku limpahan air bersih dekat Taman Ria di sini yang dikhuatiri mengakibatkan pembaziran sejak kira-kira sebulan lalu.
Penduduk, Yusseri Mohamad, 63, mendakwa, kejadian disedari bulan lalu apabila air bersih mengalir deras dari longkang di perumahan rumahnya yang dikatakan 'terbuang' begitu sahaja.
Menurutnya, pihak bertanggungjawab digesa melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian selain mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan kerugian.
"Air mengalir dalam longkang memang deras dan saya perasan hampir setiap hari berlaku perkara sama terutama waktu pagi," katanya.
Dakwa Yusseri, limpahan akan berkurangan apabila ramai pengguna mula menggunakan bekalan air untuk mencuci dan memasak.
Laporan sama telah dimuat naik penduduk di media sosial Facebook sehingga menerima pelbagai reaksi.
Sementara itu, Talib Hussain, 70, berkata, pemantauan dan tindakan sewajarnya perlu dilakukan bagi mengelakkan pembaziran air bersih.
Katanya, mengambil kira masalah gangguan bekalan air di beberapa kawasan di daerah Kuala Muda, limpahan air tersebut sepatutnya boleh digunakan bagi menampung keperluan penduduk.
"Jika air melimpah atau berlaku kebocoran, minta depa (mereka) pantau dan baiki mana yang rosak, kasihan penduduk yang terputus bekalan seperti di Merbok dan lain-lain, sedangkan air di sini terbuang begitu sahaja," jelasnya.
Sinar Harian bagaimanapun telah memaklumkan perkara itu kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA).
SADA melalui maklum balas ringkas menjelaskan, akan merujuk kepada pengurusan tertinggi syarikat itu berhubung perkara berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!