Banjir di Tumpat, penduduk mula pindah
TUMPAT - Penduduk di daerah ini mula berpindah ke tempat selamat selepas kawasan rumah mereka dinaiki air sejak awal pagi Selasa.
Ada di antara mereka yang tidak pernah berpindah namun terpaksa mengambil keputusan itu berikutan air naik secara mendadak.
Tinjauan Sinar Harian di Kampung Jubakar Darat di sini mendapati penduduk mengambil keputusan berpindah walaupun cuaca kadang kala mendung dan panas.
Seorang penduduk Kampung Jelujok, Muhammad Faizul Zailani, 30 dan isteri Nor Azma Che Mansor, 29, terkejut apabila air naik sejak petang Isnin hingga mencecah 0.7 meter
"Air sudah memasuki ruang dapur rumah. Kami pun hanya tidur-tidur ayam sahaja kerana anak yang baharu berusia sembilan bulan.
"Hari ini saya memindahkan anak dan isteri ke rumah saudara di bandar," katanya.
Sementara itu, seorang warga emas, Mohamad Abdul Rahman, 62, memberitahu, walaupun kawasan berkenaan sering dilanda banjir namun fenomena kali ini memang mengejutkan.
Katanya, air naik dengan cepat di luar jangkaan mereka kerana bukan musim tengkujuh sebagaimana biasa.
"Biasanya saya akan menumpang di rumah ibu bapa yang selalu menjadi lokasi pemindahan sementara kami namun kali ini rumah mereka pun banjir.
Tinjauan Sinar Harian juga mendapati kawasan di pedalaman Tumpat terutama lokasi yang berisiko tinggi untuk banjir sudah mula dilimpahi air.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri ketika dihubungi memberitahu, jalan utama di daerah berkenaan masih boleh dilalui semua kenderaan.
Bagaimanapun katanya, ada beberapa jalan di kawasan rendah dilimpahi air dan ada yang sudah tidak tidak boleh dilalui.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!