Ternakan mati akibat banjir, penternak rugi ratusan ribu
HULU TERENGGANU - Kira-kira 20 penternak di Kampung Sekayu, di sini menanggung kerugian lebih ratusan ribu apabila ternakan yang diusahakan mati dalam bencana banjir yang melanda pada Ahad lalu.
Seorang penternak, Che Ku Mansor Che Ku Salleh, 65 berkata, 20 ekor kambing ternakannya mati di dalam kandang kira-kira 2 kilometer (km) dari rumah kerana tidak sempat dipindahkan ke lokasi selamat.
Selain itu, katanya, 40 ekor lembu serta 20 ekor kerbau yang diletakkan di kandang berasingan kira-kira 3 km dari rumah juga tidak dapat diselamatkan kerana air naik terlalu pantas.
"Saya pelihara haiwan ternakan ini sejak 30 tahun lalu. Biasanya setiap kali banjir saya sudah bersedia memindahkan lembu ke lokasi selamat.
"Banjir kali ini saya tidak sempat bersedia lebih awal kerana air naik tanpa diduga. Bayangkan bangsal kambing yang dibina tinggi masih lagi dinaiki air sedalam 3.5 meter," katanya ketika ditemui pemberita, disini, pada Selasa.
Menurut Che Ku Mansor, nilai kerugian ditanggung bagi kesemua 60 ekor ternakannya dianggarkan mencecah RM180,000.
"Setakat ini saya belum dapat lagi ke kandang kambing kerana selut terlalu tebal melepasi paras lutut. Saya perlu ambil sedikit masa dan memintan bantuan anak dan cucu untuk membersihkan kawasan kandang kambing itu.
"Kebanyakan penternak di kampung ini terjejas, bukan saya sahaja dan nilai kerugian yang ditanggung juga adalah lebih besar. Mungkin kerugian ditanggung kebanyakan penternak disini lebih ratusan ribu ringgit," katanya yang hanya sempat menyelamatkan sebuah kereta ke kawasan bukit berhampiran kediaman.
Sementara itu, abangnya, Che Ku Endut Che Ku Salleh, 70 berkata, setakat ini dia masih belum dapat menjejaki 28 ekor lembu yang diternak selepas kediamannya dinaiki air pada Ahad lalu.
"Setakat ini saya tidak dapat kenalpasti ke mana 28 ekor lembu kerana hampir keseluruhan kawasan di kampung ini dinaiki air termasuk di kandang lembu itu.
"Saya pasrah dan hanya mampu berserah dan berdoa terhadap sebarang kemungkinan kerana seumur hidup saya di sini belum pernah lagi banjir buruk berlaku seperti ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!