Tiga pemimpin pembangkang jumpa PM
SHAH ALAM - Tiga wakil parti pembangkang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen, pada Selasa.
Pertemuan itu melibatkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu bagi membincangkan mengenai beberapa perkara.
“Saya bersama saudara Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Parlimen.
“Kami mendapat jaminan daripada Perdana Menteri bahawa suatu pindaan perlembagaan terkait Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentang minggu depan," kata Anwar menerusi hantaran di Facebook beliau pada Selasa.
Menurut Anwar, dalam pertemuan itu, mereka turut mencadangkan agar diberikan kelonggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi memudahkan proses kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Kami juga mengulangi pendirian berhubung penjelasan beliau (Ismail Sabri) di Parlimen pagi tadi berhubung peranan dan tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang harus bertindak tanpa bersikap selektif,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!