Rakyat Malaysia dari Ukraine selamat tiba ke tanah air

Laporan Sinar Harian mengenai rakyat Malaysia yang selamat tiba di sempadan Ukraine-Poland pada 27 Februari lalu.
Laporan Sinar Harian mengenai rakyat Malaysia yang selamat tiba di sempadan Ukraine-Poland pada 27 Februari lalu.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Tujuh daripada sembilan rakyat Malaysia dan dua tanggungan warga asing yang sebelum ini terkandas di Ukraine selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.

Mereka tiba di KLIA kira-kira jam 3.06 petang selepas lebih 15 jam mengharungi perjalanan dari ibu negara Warsaw, Poland pada Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, empat daripada mereka adalah pegawai atau ahli keluarga Kedutaan Besar Malaysia di Kiev, dua ekspatriat serta seorang pelajar.

“Daripada 11 orang, tujuh pulang ke tanah air, empat tidak pulang ke Malaysia tetapi berada di negara lain dan dua lagi mungkin berehat di Poland.

“Apa yang penting mereka semua selamat keluar dari Ukraine,” katanya pada sidang akhbar, di sini pada Selasa.

Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun konflik yang berlaku di Ukraine agak membimbangkan, tetapi nyawa dan keselamatan menjadi keutamaan kerajaan.

“Sebab itu kita melakukan usaha yang terbaik untuk memastikan rakyat kita di Ukraine selamat.

Artikel Berkaitan:

“Mereka semua dalam keadaan sihat, tiada isu yang berbangkit kerana mereka meninggalkan Ukraine. Maknanya Misi Evakuasi kita berjaya, capai matlamat.

“Pada masa sama, tujuh individu berkenaan sudah pun melakukan ujian saringan dan akan menjalani kuarantin kendiri sepertimana yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, 24 rakyat Malaysia berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kiev dengan 13 daripadanya telah meninggalkan Ukraine dalam tempoh 14 hingga 24 Februari lalu.

Tambahnya, pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Kiev ditutup sementara dan beliau menyeru rakyat Malaysia yang tidak berdaftar dengan pihak kedutaan untuk menghubungi pejabat Kedutaan Malaysia di Warsaw bagi mendapatkan bantuan.

Sebelum ini, proses Evakuasi Warganegara Malaysia dari Ukraine telah berjaya dilaksanakan pada 26 Februari lalu selepas kumpulan terakhir itu selamat dibawa keluar dari Ukraine.

Mereka kemudiannya berlepas dari Warsaw ke Malaysia pada Isnin dengan penerbangan komersial.

Menurut kenyataan Wisma Putra, kumpulan itu meninggalkan Kiev melalui jalan darat pada petang 25 Februari dan memasuki Poland pada malam 26 Februari 2022.

Misi evakuasi rakyat Malaysia dari Ukraine itu dilaksanakan dua pegawai kedutaan, Kuasa Usaha Sementara Fadhilah Daud dan Setiausaha Kedua Aminuddin Osman.

Pada 14 Februari lalu, Saifuddin menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Ukraine segera menghubungi Kedutaan Malaysia untuk membuat pendaftaran bagi memudahkan pemantauan perkembangan keselamatan mereka.

Ini berikutan ancaman serangan lebih daripada seratus ribu tentera Rusia ke atas Ukraine pada 16 Februari 2022 lalu menurut pengumuman Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

Sehingga kini dianggarkan 500,000 rakyat Ukraine telah melarikan diri ke sempadan Poland dan Hungary.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!