Agenda basmi kemiskinan: Nota jemaah menteri dibentang masa terdekat

Eddin Syazlee (kiri) bersama Pengerusi Uthmaniah Properties Sdn Bhd, Datuk Ahamad Tarmizi Mohamad merasmikan Program 'Back To School' di PPR Kampung Baru Hicom Seksyen 26, Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
Eddin Syazlee (kiri) bersama Pengerusi Uthmaniah Properties Sdn Bhd, Datuk Ahamad Tarmizi Mohamad merasmikan Program 'Back To School' di PPR Kampung Baru Hicom Seksyen 26, Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Agenda membasmi kemiskinan negara akan diperkemaskan lagi selepas satu nota jemaah menteri berhubung perkara itu dibentangkan pada Mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, susulan pembentangan nota itu juga, agenda membasmi kemiskinan akan terus dijadikan keutamaan seiring titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kelima Parlimen ke-14, semalam.

"Saya percaya selepas nota jemaah menteri dan titah Yang di-Pertuan Agong ini, agenda ini akan lebih diperkemaskan dan menjadi keutamaan. Saya percaya dalam tempoh bulan ini akan dibuat proses (fasa) pertama untuk program basmi kemiskinan.

"Kita tunggu pengumuman yang akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan proses pelancaran (program basmi kemiskinan) akan dibuat dalam tempoh terdekat,” katanya pada pemberita selepas Program Balik ke Sekolah Uthmaniah Properties Development Sdn Bhd (UPDSB) hari ini.

Eddin Syazlee berkata, tumpuan kerajaan yang dijalankan secara berterusan ini juga akan lebih ditumpukan kepada kumpulan miskin tegar yang mempunyai isi rumah seramai empat orang dan berpendapatan sekitar RM1,199 sebulan.

Di samping itu, Eddin Shazlee berkata, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) kini mengenal pasti sebanyak 80 lokaliti di seluruh negara bagi menjalankan kajian program basmi kemiskinanan bagi melihat kesannya pada masyarakat.

Al-Sultan Abdullah menitahkan kerajaan agar menumpukan usaha membasmi miskin tegar menjelang 2025 melalui tindakan bersepadu pelbagai pendekatan pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, Di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur semalam.

Mengulas mengenai kesan serangan Rusia ke atas Ukraine ketika ini, Eddin Shazlee berkata, Malaysia mempunyai hubungan perdagangan dua hala dengan kedua-dua negara tetapi sejauh mana kesannya belum lagi diketahui.

Artikel Berkaitan:

Mengulas berhubung penganjuran program Balik ke Sekolah hari ini, Eddin Shazlee berharap lebih banyak pihak korporat terus membantu mereka yang memerlukan dan melaksanakan program seperti yang dilakukan oleh UPDSB yang memberi bantuan wang tunai kepada keluarga B40 dan miskin tegar.

Dalam pada itu, Pengerusi UPDSB, Datuk Ahmad Tarmizi Mohamad berkata, 150 murid serta pelajar sekolah rendah dan menengah menerima bantuan wang tunai RM100 seorang dan program yang sama akan dilaksanakan di Parlimen Kuala Pilah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selepas ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!