Remaja 15 tahun, enam tokan dadah ditahan

Ramli (tengah) menunjukkan gambar individu yang ditahan dalam Op Tapis Khas Polis Pahang yang diadakan bermula Rabu.
Ramli (tengah) menunjukkan gambar individu yang ditahan dalam Op Tapis Khas Polis Pahang yang diadakan bermula Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Enam tokan dadah dan seorang remaja berusia 15 tahun antara 447 individu yang berjaya ditahan dalam Op Tapis Khas Polis Pahang bermula Rabu lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, remaja yang dipercayai tidak bersekolah itu dicekup dalam serbuan dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang membabitkan 28 kawasan panas di negeri ini.

Menurutnya, operasi yang diadakan selama tiga hari itu melibatkan 246 serbuan di kawasan pengedaran dan penagihan dadah di negeri ini hasil risikan dan maklumat awam.

"Ini adalah jumlah tangkapan tertinggi direkodkan dan kebanyakan mereka yang ditahan pula berusia antara 15 hingga 62 tahun.

Enam individu disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah berbahaya di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung mandatori.

“Seramai 11 individu ditahan mengikut Seksyen 39A (2) ADB 1952, 32 individu lagi mengikut Seksyen 39 A(1) ADB 1952 dan 60 individu mengikut Seksyen 12(2) akta sama.

“Dalam pada itu, seramai 278 ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a)ADB 1952 yang boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM5,000.

Artikel Berkaitan:

Seramai 55 individu ditahan di bawah Seksyen 39C ADB 1952 yang boleh dikenakan penjara atau sebatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, pada Selasa.

Ramli (kanan) menunjukkan lokasi operasi Op Tapis Khas kali yang diadakan membabitkan 28 kawasan di seluruh Pahang.
Ramli (kanan) menunjukkan lokasi operasi Op Tapis Khas kali yang diadakan membabitkan 28 kawasan di seluruh Pahang.

Beliau menjelaskan, seramai 14 suspek yang disenaraikan sebagai orang dikehendaki turut diberkas dalam serbuan berkenaan.

Tambahnya, sebanyak 122.33 gram dadah jenis syabu, 109.50 dadah jenis heroin, 72.96 gram pil yaba, 11.76 dadah jenis erimin 5 telah dirampas dalam operasi terbabit.

"Kita juga merampas 48.75 liter air ketum dalam operasi kali ini dengan 30 daripada yang ditahan dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan minuman tersebut.

"Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga empat tahun atau denda sehingga RM4,000," ujarnya.

Mengulas lanjut operasi itu, Romli berkata, serbuan banyak dilakukan di kawasan Felda disebabkan Pahang memiliki 112 kawasan tanah rancangan.

Tegasnya, ia juga berikutan kebanyakan orang awam mengadu aktiviti penyalahgunaan dadah banyak dilaporkan di kawasan Felda.

"Kita bukan sengaja pilih untuk melakukan serbuan di Felda, sebaliknya Pahang mempunyai banyak tanah rancangan.

"Jadi kita berusaha melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah dengan menumpukan lokasi itu," katanya.

Menyentuh isu bekalan dadah, Ramli memaklumkan semua bahan terlarang itu dipercayai diperoleh dari sempadan tanah air dan Lembah Klang.

Turut disita ialah wang tunai berjumlah RM11,250 dan lima buah kenderaan dianggarkan bernilai RM56,000.

Ramli meminta kerjasama pemimpin setempat termasuk badan bukan kerajaan (NGO) supaya dapat terus bersama polis dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat itu ke pusat kawalan operasi Kontinjen Pahang di talian 09-5051999.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!