Lebih ramai individu akan dipanggil bantu siasatan kes Rohana
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan akan memanggil lebih ramai individu bagi membantu siasatan dakwaan rasuah melibatkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah firma, Datuk Rohana Rozhan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini pihaknya telah membekukan aset Rohana di dalam dan luar negara termasuk rumah miliknya di London serta sejumlah aset lain.
Bagaimanapun Azam tidak menyatakan sama ada pihaknya akan mengambil keterangan bekas Ketua Operasi Goldman Sachs Asia Tenggara, Tim Leissner.
“Kita akan panggil individu lain tetapi buat masa ini saya tak boleh kongsi (lebih lanjut),” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Selasa.
Mengulas lanjut, Azam berkata, kerjasama antara Pejabat Peguam Negara (AGC) dan pihak di Amerika Syarikat (AS) amat diperlukan bagi menyelesaikan perkara itu.
“Tim Leissner masih beri keterangan di AS, jadi saya rasa kurang enak kalau ulas tentang keterangannya. Jadi kita akan dapatkan keterangan lanjut dari pihak AS,” jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM telah memanggil Rohana untuk direkodkan kenyataannya susulan dakwaan Leissner bahawa dia menggunakan wang yang diterima daripada 1MDB untuk membeli rumah berharga AS$10 juta (RM41.8 juta) di London untuknya pada 2013.
Menerusi keterangan yang dilaporkan Bloomberg itu, Leissner mendedahkan bahawa pembelian rumah untuk Rohana itu dibuat selepas dia diugut oleh wanita itu untuk mendedahkan pembabitannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam pada itu Azam memaklumkan, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!