Mahkamah Singapura tangguh keputusan rayuan Nagaentran

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SINGAPURA - Mahkamah Rayuan Singapura pada Selasa menangguhkan keputusannya terhadap rayuan warga Malaysia, Nagaentran K Dharmalingam terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada November 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Nagaentran untuk kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan mahkamah atas kesalahan pengedaran dadah.

Perbicaraan hari ini didengar di hadapan panel lima anggota terdiri daripada Ketua Hakim Sundaresh Menon dan Hakim Andrew Phang, Judith Prakash, Belinda Ang dan Chao Hick Tin.

"Kami akan menangguhkan penghakiman dan akan maklumkan anda tidak lama lagi," kata Menon dalam bilik mahkamah yang penuh sesak.

Selain rayuannya, Nagaentran yang diwakili oleh peguam, Violet Netto juga memohon mahkamah menggunakan kuasa untuk memintanya dinilai oleh pakar psikiatri.

"Beliau (Menon) berkata akan memberikan keputusan tidak lama lagi tetapi tidak menyatakan tarikh. Saya tidak fikir hari ini,” kata Pendakwa Raya Wong Woon Kwong ketika ditanya tarikh jangkaan penghakiman itu dikeluarkan.

Memakai pakaian seragam penjara berwarna ungu, Nagaentran dilihat tenang dan melambai ke arah seorang yang dipercayai ahli keluarganya di tempat duduk awam sebelum perbicaraan bermula.

Berasal dari Perak, dia dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin ke Singapura pada 2009. Rayuannya terhadap sabitan dan hukumannya ditolak pada 2011.

Artikel Berkaitan:

Pada 2015 Nagaentran membuat permohonan untuk dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas undang-undang diubah bagi membenarkan hukuman alternatif.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun pada 2017 mengekalkan hukuman matinya selepas mempertimbangkan keterangan pakar daripada empat pakar psikiatri dan psikologi.

Proses rayuan telah melepasi peringkat akhir dan permohonannya untuk pengampunan presiden ditolak pada 1 Jun 2020.

Kes Nagaenthran menarik perhatian antarabangsa dan pada 7 November, dilaporkan bahawa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong memohon kelonggaran dalam kes ini.

Pada 3 Disember, Presiden Singapura, Halimah Yacob berkata, Nagaentran telah diberikan proses yang wajar dan sepenuhnya di bawah undang-undang.

Peguam Nagaentran mendakwa bahawa dia kurang upaya daripada segi intelek.

Nagaentran dijadual dihukum gantung pada 10 November 2021, bagaimanapun, mendapat penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah diberitahu tertuduh positif Covid-19 apabila dia hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukumannya.

Sementara itu, peguam Nagaentran, Netto berkata, apa yang tinggal untuk anak guamnya kini adalah 'belas kasihan kehakiman'. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!