Pemimpin tidak perlu malu, kekok guna bahasa Melayu

Laporan Sinar Harian pada 26 Februari lalu.
Laporan Sinar Harian pada 26 Februari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin negara tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu bagi menyampaikan ucaptama dalam sesuatu program bertaraf antarabangsa.

Dalam kenyataan bersama beberapa Ketua UMNO Bahagian berkata, ia sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menjadi contoh terbaik kepada semua kepimpinan pelbagai peringkat yang mengutamakan bahasa Melayu ketika mengadakan sidang media bersama pemimpin negara Brunei, Kemboja dan terbaharu, Thailand.

“Tindakan memperkasakan bahasa Melayu ini sekali gus memartabatkan bahasa ibunda kita ke persada yang lebih luas terutamanya rantau Asean.

“Kami yakin, kita tidak akan terkebelakang sekiranya menggunakan bahasa kebangsaan apabila berada di pentas antarabangsa.

“Malahan akan lebih berbangga sebagaimana negara lain yang sentiasa menggunakan bahasa ibunda mereka dalam sesuatu program yang melibatkan dunia luar,” kata mereka dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, kunjungan Perdana Menteri ke Kemboja dan Thailand mengejutkan banyak pihak apabila beliau tampil berucap dalam bahasa kebangsaan.

Ismail Sabri menjelaskan, tidak perlu berasa malu malah bangga kerana Malaysia perlu menjuarai bahasa Melayu sebagai bahasa Asean.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh antaranya, Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar; Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail; Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Dalam kenyataan sama, mereka berkata, kini sudah tiba masanya untuk Malaysia menggunakan bahasa ibunda ketika berada di pentas antarabangsa.

“Gunakan kesempatan ini untuk memperkenalkan kita di mata dunia.

“Dalam masa sama juga, kami menegaskan agar semua peringkat dalam negara sama ada pihak kerajaan atau swasta untuk menyambut hal yang sama dengan menggunakan bahasa kebangsaan dalam sebarang urusan rasmi dalam negara,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!