Ramli 'muncul’ pengerusikan sidang Dewan Rakyat

Ramli Mohd Nor - Foto Bernama
Ramli Mohd Nor - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor ‘muncul’ buat kali pertama mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat sesi petang pada Selasa.

Kemunculan Ramli yang juga wakil rakyat komuniti orang asli itu seakan mengesahkan lagi beliau antara nama yang akan dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat sesi pagi tadi sebulat suara meluluskan usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ditangguhkan ke mesyuarat kedua yang akan datang.

Penangguhan usul itu dikemukakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Oktober tahun lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, Ramli dicalonkan untuk mengisi jawatan tersebut selepas Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meletak jawatan pada Ogos 2021.

Menurut Ahmad, pencalonan Ramli turut mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Azalina mengesahkan beliau meletakkan jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Susulan itu, jawatan seorang lagi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat kini kosong dan hanya Datuk Mohd Rashid Hasnon yang memegang jawatan itu ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!