Fakrulradzi mahu bawa perubahan kepada 'pekan koboi'
MERSING - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Mohammad Fakrulradzi Mahmud mahu membuat perubahan besar terhadap kawasan tersebut yang disifatkan sudah sekian lama menjadi seperti pekan koboi.
Beliau yang juga anak jati Endau berkata, perubahan tersebut perlu dilaksanakan kerana ia secara langsung akan membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak muda di kawasan terbabit.
Menurutnya, masalah peluang pekerjaan yang terhad di kawasan itu sudah berlarutan sejak sekian lama dan beliau akan menggariskan beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi isu tersebut.
“Kerajaan negeri perlu mengatasi terlebih dahulu masalah pemilikan tanah kepada generasi muda. Peluang memiliki tanah seolah tertutup apabila dasar tanah Johor sangat tidak mesra orang muda. Saya akan perjuangkan hak memiliki tanah kepada orang muda.
“Setelah memiliki tanah, mereka akan berupaya untuk menjana pendapatan sewajarnya dengan memaksimumkan penggunaan tanah yang sudah dimiliki. Di sini peranan industri kecil dan sederhana (IKS) boleh dijanakan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Dalam pada itu, Mohammad Fakrulradzi berkata, Endau juga boleh dimajukan dengan mewujudkan kilang dan industri di banyak kawasan terbiar terutama di sekitar kawasan jalan yang menghubungkan Endau ke bandar Mersing.
Pada masa sama, beliau turut mencadangkan agar pembinaan resort dan ‘homestay’ dapat digalakkan dan dilaksanakan secara bersepadu di sepanjang jajaran jalan dari kawasan Penyabong sehingga ke Pantai Air Papan, di sini.
“Endau juga adalah kawasan nelayan dan pendaratan hasil ikan. Namun, hanya beberapa kerat dan segmen sahaja yang mendapat keuntungan.
“Saya menyasarkan pembukaan kawasan jualan hiliran hasil laut seperti keropok, bebola ikan, ikan masin dan restoran makanan laut supaya Endau memiliki imej bandar makanan laut seperti yang dilakukan di Pantai Remis, Perak; Sekinchan, Selangor dan Dataran Todak, Sabah.
“Peluang pekerjaan juga akan dapat dijana sekiranya Endau memiliki institusi pengajian tinggi awam atau swasta,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!