[VIDEO] Gabungan calon muda, pengalaman penting kemudi Johor
![Aminolhuda ketika bercakap pada program Sinar Live Eksklusif sempena PRN Johor.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/03/01/1612507.jpeg)
JOHOR BAHRU - Gabungan calon muda dan mereka yang berpengalaman dalam pembentukan kerajaan penting untuk mengemudi bahtera negeri Johor.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Aminolhuda Hassan berkata, bagaimanapun calon muda perlu diberi peluang untuk membentuk kerajaan.
“Ada dua keadaan... kalau semua muda pun pengalaman tidak ada. Kita ambil contoh kalau naik sampan pergi ke laut, ketika itu semua pemandu tiada pengalaman.
“Kalau berlaku perkara yang tidak diingini, sekurang-kurangnya ada yang berpengalaman untuk mengemudi,” katanya dalam program Sinar Live Eksklusif sempena PRN Johor yang dikendalikan Hazwan Mokhtar pada Selasa.
Mengulas lanjut beliau berkata, jika diberi mandat, mereka yang berpengalaman perlu supaya dapat menyusun gerak kerja dan strategi bagi memajukan parti tetapi dan negeri.
Menurut Aminolhuda, sepanjang penglibatannya dalam pimpinan negeri sudah membuktikannya mempunyai pengalaman yang cukup untuk mengemudi negeri.
Tambah beliau, rakyat ketika ini semakin bijak memilih calon pemimpin mereka.
Beliau mendakwa, Perikatan Nasional ketika ini (PN) tidak mampu menguruskan kenaikan harga telur dan ayam.
“Jadi pemimpin yang berintegriti itu sangat besar ertinya untuk rakyat ketika ini. Mereka mahu kerajaan yang bersih, berwibawa dan jelas masa hadapan," katanya..
Beliau turut membangkitkan PH mahu meningkatkan sistem pendidikan dan ekonomi sesuai slogan ‘Johor Bangkit, Maju Bermaruah’.
“Kita mahu membangunkan pendidikan. PH pernah menawarkan untuk membina sebuah universiti di Johor dalam tempoh lima tahun jika diberi mandat.
“Itu adalah harapan kami. Berdasarkan kajian 80 peratus rakyat Johor setuju dan InsyaALLAH kepercayaan itu kita akan bawa untuk rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!