Rusia semakin mara, perhebat serangan ke atas bandar utama
KIEV - Tentera Rusia pada Selasa semakin menghampiri bandar selatan Kherson berhampiran wilayah Crimea yang dirampas Kremlin pada 2014 dan turut menubuhkan pos pemeriksaan di pintu masuk kota itu.
Perkembangan kempen pencerobohan yang masuk hari keenam itu disahkan Datuk Bandar, Igor Kolykhayev menerusi Facebook selepas tentera Rusia dikatakan telah mara dari pelbagai arah termasuk dari Crimea sejak serangan tersebut dilancarkan pada Khamis lalu.
“Pada hari ini, saya bertanggungjawab terhadap nyawa penduduk dan cuba memberikan perlindungan sehabis baik,” kata Kholykhayev yang turut menggesa orang ramai supaya tidak meninggalkan rumah mereka ketika di luar waktu pelaksanaan perintah berkurung.
Menurutnya, nilai terbesar bandar itu adalah nyawa penduduk di Kherson yang berpopulasi kira-kira 280,000 orang.
Dalam perkembangan berkaitan, konvoi berskala besar didakwa semakin mara ke pinggir Kiev berdasarkan imej satelit yang menunjukkan perarakan kenderaan perisai dan artileri yang dikenal pasti pada jarak 29 kilometer (km) di utara ibu kota tersebut.
Gambar didedahkan Maxar Technologies yang berpusat di Amerika Syarikat (AS) memaparkan lajur sepanjang lebih 65 km dan meliputi seluruh laluan berhampiran Lapangan Terbang Antonov di luar Kiev sehingga ke bandar Prybirsk.
Imej tersebut juga mendedahkan penempatan pasukan tentera darat tambahan dan unit helikopter serangan darat di selatan Belarus berhampiran Ukraine.
Ketua Turus Am Ukraine juga mengesahkan pasukan tentera Rusia telah bersiap sedia dalam tempoh 24 jam untuk meneruskan misi mengepung dan mengambil alih Kiev serta bandar utama lain.
Sementara itu, Datuk Bandar Kharkiv, Igor Terekhov memberi amaran kenderaan perisai dan kereta kebal milik Moscow kini berada di seluruh bandar tersebut.
Perkhidmatan kecemasan memaklumkan sekurang-kurangnya 10 terkorban dan lebih 20 yang lain cedera selepas dataran tengah dan bangunan pentadbiran utama di bandar kedua terbesar di Ukraine itu menjadi sasaran bedilan.
Susulan kempen serangan yang diperhebatkan itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyifatkan serangan ke atas bandar Kharkiv itu sebagai satu bentuk jenayah perang. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!