Terbuka Malaysia: Peluang Haiqal, Khairul Hafiz layak ke Hanoi
RAJA pecut Asia Tenggara, Muhammad Haiqal Hanafi perlu membuktikan sesuatu pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia hujung minggu ini, jika berhasrat mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA Hanoi dari 12 hingga 23 Mei depan.
Muhammad Haiqal yang merangkul emas 100 meter (m) dengan catatan 10.35 saat pada Sukan SEA 2019 di Filipina dan seorang lagi pemenang emas 100m Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Khairul Hafiz Jantan, masing-masing belum berjaya melayakkan diri ke Hanoi, Vietnam.
Ketua Jurulatih skuad olahraga kebangsaan Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, secara keseluruhan 15 atlet sudah melayakkan diri bagi kategori A termasuk tiga pelari pecut acara 100m iaitu Russel Alexander Nasir Taib, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Muhammad Arsyad Md Saat.
Justeru, beliau berkata Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menetapkan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysian yang dijadual berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil di sini, sebagai peluang terakhir atlet melayakkan diri selain menjadi platform untuk KOM membuat penilaian pemilihan atlet.
"Biarpun ada atlet yang sudah layak, ia belum muktamad kerana kami akan putuskan berdasarkan keputusan pada saingan Terbuka Malaysia 5 dan 6 Mac ini. Hanya atlet terbaik akan dipilih ke Hanoi.
"Jadi peluang masih terbuka kepada mana-mana atlet untuk merebut tiket ke Sukan SEA tahun ini. Saya percaya ada beberapa lagi atlet yang akan melayakkan diri menerusi Terbuka Malaysia kali ini," katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma OCM di Kuala Lumpur pada Isnin.
Pada masa sama, Mohd Manshahar berkata, kejohanan itu juga bakal menyaksikan persaingan sengit antara empat atlet jarak sederhana yang masing-masing telah melayakkan diri dalam acara 1500m bagi merebut dua slot ke Hanoi.
Empat atlet itu adalah pemenang pingat emas 1500m Kejohanan Olahraga Perak All-Comers 2022 minggu lepas, K Prabudass, selain Ahmad Luth Hazmizan, M. Sanjay dan Muhammad Amirul Arif Mohd Azri.
Sementara itu, Presiden KOM Datuk SM Muthu berkata, badan induk itu menetapkan sasaran membawa pulang lima pingat emas di Hanoi, sekali gus menyamai pencapaian edisi lepas.
"Kami juga berharap mampu meraih tujuh perak dan lima gangsa. Kami harap atlet boleh mencapai sasaran ini,” katanya.
Pada edisi 2019, skuad olahraga negara berjaya menepati sasaran lima emas menerusi Muhammad Haiqal, Lee Hup Wei (lompat tinggi lelaki), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera lelaki), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang lelaki) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi wanita). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!