Perang Ukraine sukarkan lagi keadaan ekonomi global: Jokowi
JAKARTA - Ketika gangguan teknologi dan pandemik Covid-19 masih berterusan di seluruh dunia, perang di Ukraine menambah satu lagi ketidaktentuan kepada ekonomi global, kata Presiden Indonesia Joko Widodo.
Keadaan itu menyumbang kepada kekurangan makanan dan tenaga, inflasi dan peningkatan kos pengeluaran.
"Kenaikan kadar pengangkutan kemungkinan akan menaikkan lagi harga makanan dan barangan pengguna,” kata presiden itu pada Mesyuarat Kepimpinan Tentera Nasional Indonesia dan Polis Nasional Indonesia di sini, hari ini.
Joko Widodo menegaskan bahawa inflasi mendorong kenaikan harga barangan harian di semua negara, manakala perang di Ukraine meningkatkan harga bahan tenaga termasuk minyak.
"Sebelum perang, harga minyak naik kerana kekurangan bekalan. Kini, harga naik semula melebihi US$100, yang sebelum ini hanya antara US$50 dan US$60,” katanya.
Khamis lalu, Presiden Rusia Vladimir mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, timur Ukraine.
Susulan itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan darurat di seluruh negara.
Pada 17 Februari, Jokowi menggesa negara anggota G20 untuk menamatkan ketegangan, seperti yang berlaku di Ukraine, yang hanya akan mengganggu pemulihan ekonomi global daripada pandemik Covid-19.
Beliau sebaliknya menyeru negara G20 untuk menumpukan pada usaha bersama dan kerjasama supaya ekonomi bangkit dan segera pulih. Indonesia memegang kerusi presiden G20 untuk tempoh 2022. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!