Ukraine mahu bebaskan banduan berpengalaman tempur

Zelenskyy menggunakan pelbagai pilihan yang ada untuk memperkuatkan pertahanan negara itu daripada serangan ganas Rusia. - Foto: Agensi
Zelenskyy menggunakan pelbagai pilihan yang ada untuk memperkuatkan pertahanan negara itu daripada serangan ganas Rusia. - Foto: Agensi
A
A
A

KIEV - Ukraine akan membebaskan banduan yang mempunyai pengalaman tempur sebenar untuk membantu usaha menentang pencerobohan Rusia ketika Moscow mula mara ke bandar utama dan memperhebatkan serangan mereka.

Pengumuman itu dibuat Presiden Volodymyr Zelenskyy sehari selepas beliau menjemput warga asing menyertai pasukan tentera mereka untuk memerangi Kremlin.

"Sesiapa yang mahu menyertai perjuangan ini boleh berbuat demikian termasuklah banduan yang akan dibebaskan untuk berperang habis-habisan," ujarnya.

Di bawah undang-undang tentera, rakyat negara itu yang mempunyai pengalaman bertempur akan diberi peluang untuk menebus kesalahan mereka di medan perang.

"Kami telah mengambil keputusan yang sukar dari segi moral, namun amat berguna untuk tujuan pertahanan tanah air kita yang menjadi kunci utama pada masa ini," katanya lagi.

Zelenskyy ketika berucap menerusi video secara langsung di hadapan Parlimen Eropah pada Selasa turut menuntut Kesatuan Eropah (EU) membuktikan bahawa mereka menyokong Kiev.

"Tanpa EU, Ukraine akan bersendirian. Kami telah membuktikan kekuatan kami. Sekarang anda pula perlu buktikan kata-kata anda," katanya.

Pada Isnin, pemimpin tersebut sekali lagi meminta EU membenarkan Ukraine menyertai blok berkenaan dengan segera melalui prosedur khas baharu.

Artikel Berkaitan:

"Matlamat kami adalah untuk bersama-sama dengan kesemua negara Eropah dan berada pada kedudukan sama. Saya pasti ia adil dan hasrat kami dapat direalisasikan," tambahnya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!