Penunggang motosikal maut digilis
TAPAH - Seorang penunggang motosikal maut akibat digilis kenderaan berat dipercayai lori dalam kemalangan di KM333.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Tapah, malam tadi.
Dalam kejadian jam 12.30 malam itu, Muhammad Amirulsolihin Hassan Din, 24, beralamat dari Kampung Batu 5, Tambun maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati, motosikal jenis Modenas ditunggangi mangsa terbabas atas lebuh raya selepas melanggar bahagian belakang sebuah van. "Sebuah kenderaan berat yang belum dikenal pasti tidak sempat mengelak lalu menggilis mangsa.
"Akibat nahas itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan peha, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Menurutnya, usaha mengesan kenderaan terlibat serta saksi bebas sedang dijalankan bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. "Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.
Pemandu van berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!