Pelajar OKU antara 33,147 calon SPM di Perak

Norul Huda (kanan) memberikan taklimat dalam bahasa isyarat kepada Muhammad Hazami dan Nurul Aina Natasya sebelum masuk ke dalam dewan peperiksaan SPM di SMK Tasek Damai di sini pada Rabu.
Norul Huda (kanan) memberikan taklimat dalam bahasa isyarat kepada Muhammad Hazami dan Nurul Aina Natasya sebelum masuk ke dalam dewan peperiksaan SPM di SMK Tasek Damai di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Dua pelajar orang kurang upaya (OKU) pendengaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, di sini merupakan sebahagian daripada 33,147 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Perak.

Muhammad Hazami Azme Murd, 17, dan Nurul Aina Natasya Abd Syukor, 17, yang merupakan OKU pendengaran antara 115 pelajar berkeperluan khas yang menduduki peperiksaan itu bermula pada Rabu.

Kedua-dua pelajar itu diberikan taklimat mengenai perjalanan peperiksaan menggunakan bahasa isyarat dengan bantuan Guru Pendidikan Khas, Norul Huda Seman.

Seawal jam 7 pagi, calon-calon peperiksaan mula memasuki perkarangan sekolah dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Kesemua calon berkumpul di tapak perhimpunan SMK Tasek Damai di sini sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan peperiksaan secara berperingkat.
Kesemua calon berkumpul di tapak perhimpunan SMK Tasek Damai di sini sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan peperiksaan secara berperingkat.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Perak, Azmi Dahali yang turut meninjau perjalanan hari pertama peperiksaan SPM di SMK Tasek Damai itu berkata, SOP berkenaan telah ditetapkan Lembaga Peperiksaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) memandangkan negara masih berdepan pandemik Covid-19.

Menurutnya, daripada 33,149 calon SPM di Perak, seramai 31,658 orang merupakan calon sekolah manakala 1,491 orang lagi mendaftar sebagai calon persendirian.

Menurutnya, terdapat dua calon yang menjalani peperiksaan masing-masing di Hospital Taiping dan Hospital Teluk Intan disebabkan masalah kesihatan.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 328 buah pusat peperiksaan telah disediakan di seluruh negeri dan Jabatan Pendidikan Perak telah melantik petugas-petugas dalam kalangan warga pendidik untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

"Saya berharap petugas-petugas peperiksaan yang telah dilantik dapat menjalankan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti berlandaskan SOP ditetapkan, " katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan tersebut pada Rabu.

Azmi (dua dari kiri) bersama pegawai JPN Perak dan pihak sekolah melihat perjalanan SOP calon-calon yang menduduki peperiksaan SPM di SMK Tasek Damai di sini pada Rabu.
Azmi (dua dari kiri) bersama pegawai JPN Perak dan pihak sekolah melihat perjalanan SOP calon-calon yang menduduki peperiksaan SPM di SMK Tasek Damai di sini pada Rabu.

Menurutnya, seramai 3,666 petugas peperiksaan yang dilantik di Perak terdiri daripada penyelia kawasan seramai 103 orang, ketua pengawas seramai 328 orang, timbalan ketua pengawas (323), pengawas (2,220) dan pengemas bilik (687).

Peperiksaan bertulis SPM Tahun 2021 berlangsung bermula 2 Mac sehingga 29 Mac 2022.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!