20,675 pelajar duduki peperiksaan SPM di Pahang bermula hari ini
KUANTAN- Seramai 20,675 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pahang menduduki peperiksaan itu bermula pada Rabu sehingga 29 Mac depan.
Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata, daripada itu seramai 1,470 calon dari sekolah Agama Negeri dan Rakyat serta 817 lagi calon persendirian.
"Seramai 100 calon pula dikenal pasti sebagai calon berkeperluan khas dan calon swasta adalah seramai 214. Kesemua calon SPM tersebut menduduki peperiksaan berkenaan di 264 pusat peperiksaan di seluruh Pahang," katanya ketika mengadakan lawatan sempena peperiksaan SPM 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, sementara itu tiada calon SPM dilaporkan positif Covid-19 setakat ini di Pahang sebaliknya hanya terdapat lima calon terpaksa menduduki peperiksaan di hospital di negeri ini kerana mengalami masalah kesihatan.
Menurut Mohammad Rosli, pemantauan dilakukan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti saringan ke atas calon-calon dari semasa ke semasa.
"Setakat hari ini (Rabu) kami masih belum menerima sebarang laporan mengenai calon SPM positif Covid-19 dan peperiksaan baru sahaja bermula.
"Namun kami bersedia dengan sebarang kemungkinan dengan menitikberatkan pematuhan SOP dalam kalangan calon," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!