Hahasrin yakin pertahan DUN Panti
KOTA TINGGI - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Hahasrin Hashim yakin mempertahankan kawasan itu dengan majoriti lebih besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Beliau yang merupakan calon daripada Barisan Nasional (BN) itu berkata, usaha mempertahankan kerusi tersebut adalah penting bagi memastikan kesinambungan terhadap langkah penyelesaian jangka panjang bagi beberapa isu.
“Kita ada beberapa isu macam contohnya isu gajah liar tapi isu itu sedang beterusan dan kita tidak boleh selesaikan 100 peratus terus.
"Selain itu ada juga isu capaian internet dan beberapa tempat tanah generasi Felda dan sebagainya tapi itu mengambil proses yang lama. Kita akan selesaikan.
"Sebab itu saya kena pertahankan kerusi ini untuk selesaikan usaha tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Hasrin memenangi kerusi DUN Panti dengan majoriti 3,424 undi menewaskan calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Intan Jawahir yang memperolehi 7,985 undi.
Mengulas mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kempen yang ketat, Hahasrin berkata, beliau tidak mempunyai masalah berkenaan isu tersebut kerana mengambil kira keperluan menyeimbangkan antara pilihan raya dan langkah pencegahan Covid-19.
“Apa yang dilakukan oleh kerajaan pada waktu ini adalah yang terbaik. Maknanya kita perlu untuk pilihan raya atas sebab kestabilan, masa depan dan sebagainya tapi pada masa sama kita perlu mengawal dan mengadaptasi dalam suasana endemik hari ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa jentera kempennya ketika ini sudah bergerak dengan baik meskipun masih cuba menyesuaikan diri dengan SOP dan cara baharu berkempen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!