Middlesbrough malukan Spurs
PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte mengkritik persembahan pasukannya selepas mereka tersingkir daripada Piala FA susulan kekalahan mengejut 1-0 kepada tuan rumah, Middlesbrough awal pagi Rabu.
Pada perlawanan tersebut, jurulatih kelahiran Itali itu menamakan kesebelasan utama yang sama ketika merekodkan kemenangan besar 4-0 ke atas Leeds United, namun ia nyata tidak mampu mengatasi pasukan kejuaraan itu, yang sebelum ini menyingkirkan Manchester United.
Kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama dengan Son Heung-min mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol pada minit terakhir perlawanan sebelum penyerang Middlesbrough berusia 19 tahun, Josh Coburn menjaringkan gol kemenangan buat pasukannya pada masa tambahan.
“Keputusan ini sudah tentu tidak baik dan kami nyata kecewa dengan kekalahan ini. Jika anda memberi harapan kepada lawan, mereka akan mengambil keyakinan tersebut untuk menambah mutu permainan mereka.
“Kekalahan ini sebahagian daripada proses sekiranya kami mahu berjaya. Justeru pasukan perlu konsisten dan cuba elakkan prestasi yang sedang turun naik ketika ini.
“Banyak perkara perlu mereka pelajari sekiranya mahu tampil dengan aksi konsisten. Apa-apapun kami akan cuba melakukan yang terbaik buat pasukan pada musim ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Middlesbrough, Chris Wilder menyifatkan kemenangan itu tidak masuk akal memandangkan sebelum perlawanan itu mereka kalah kepada kelab yang lebih lemah.
Bagaimanapun, dia memuji persembahan ditampilkan pasukannya dan sokongan diberikan peminat selepas berjaya mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala FA.
"Antara kemenangan ke atas Manchester United dan perlawanan ini, kami tewas kepada Barnsley. Bola sepak kadang-kadang permainan yang tidak masuk akal.
"Penyokong memberikan tenaga tambahan kepada kami untuk mempamerkan aksi terbaik, " katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!