Putin tandatangani dekri langkah-langkah jamin kestabilan kewangan
MOSCOW - Presiden Rusia Vladimir Putin menandatangani dekri yang memperkenalkan langkah-langkah ekonomi sementara bagi memastikan kestabilan kewangan negara, umum Kremlin pada Selasa.
Langkah-langkah itu akan dilaksana sebagai tindak balas terhadap sekatan anti-Rusia oleh Amerika Syarikat, negara lain dan organisasi antarabangsa, menurut dekri itu.
Antara langkah itu, Rusia akan mengharamkan aliran keluar mata wang asing dalam jumlah yang melebihi nilai bersamaan AS$10,000 mulai Rabu, lapor Xinhua.
Berkuatkuasa Rabu, sekatan berhubung urus niaga sekuriti, hartanah dan pinjaman akan dikenakan ke atas warga asing yang dikaitkan dengan negara yang telah mengambil tindakan anti-Rusia.
Pada Isnin, Putin juga menandatangani dekri yang memperkenalkan "langkah ekonomi khas" untuk mengurangkan kesan gelombang baharu sekatan Barat di tengah-tengah operasi ketenteraan khas Rusia di Ukraine. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!