BAM rangka tiga langkah bagi atlet berhasrat bergerak sendiri

Lian Ker
Lian Ker
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) telah merangka tiga langkah penyelesaian semasa bagi atlet yang berhasrat melangkah ke dunia profesional, Dewan Rakyat diberitahu, pada Rabu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, langkah tersebut adalah memberi pelepasan kepada atlet yang berhasrat untuk bergerak secara profesional, menarik semula penggantungan pemain-pemain profesional dan memberi kebenaran untuk atlet bertanding di temasya sukan antarabangsa.

"Dengan ini pihak kementerian berharap agar persatuan-persatuan kebangsaan yang lain turut memperhalusi kedudukan dan memperkemaskan perjanjian antara atlet, penaja dan pihak-pihak berkaitan.

"Ini bagi memastikan kesinambungan dan perkembangan sukan negara diberi keutamaan, seimbang dengan perkembangan kerjaya dan keperluan peribadi atlet. Ini adalah konsisten dan selari dengan keputusan bahawa pemain profesional pernah mewakili negara sebelum ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai punca BAM menghalang pemain daripada bergerak secara profesional, termasuk larangan menyertai kejohanan antarabangsa dan langkah yang diambil untuk memperbetulkan tindakan itu.

Mengulas lanjut, Lian Ker berkata, kementerian bersama BAM mempunyai perancangan rapi dan pelaburan jangka panjang untuk atlet sukan berkenaan bagi melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.

"Pelaburan ini merangkumi komitmen kerajaan, peranan persatuan sukan kebangsaan dan kesinambungan kerajaan bagi memastikan program-program atlet di peringkat akar umbi sehingga antarabangsa dapat dirancang dan dilaksanakan dengan lancar.

Menjawab soalan tambahan William Leong mengenai pendekatan diambil BAM yang dilihat mampu menjejaskan kerjaya atlet, Lian Ker menjelaskan pelbagai program telah diatur untuk melahirkan atlet bertaraf dunia di bawah persatuan itu.

Artikel Berkaitan:

"Pihak persatuan BAM juga telah menjaga pemain-pemain sejak di bangku sekolah dan apabila mereka menjadi ‘senior’, itu menjadi tanggungjawab mereka (persatuan) juga untuk memastikan program Pembangunan Remaja terus dilaksanakan bagi menarik pelaburan penaja dan kepentingan-kepentingan yang wujud.

"Pihak kementerian mengambil inisiatif untuk berbincang dengan kedua-dua pihak terlibat, nasihat juga telah diberikan dan masalah itu sudah diselesaikan dengan memuaskan. Kementerian hanya boleh menasihat semua pihak yang terlibat untuk mengutamakan kepentingan negara,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu-Alor Gajah) yang ingin tahu mengenai perancangan kementerian dalam melaksanakan program berstruktur dan bekerjasama dengan Kementarian Pendidikan, Lian Ker memaklumkan pelbagai program telah dirancang antaranya menerusi program Podium.

"Majlis Sukan Negara sedang menyusun semula program kepada atlet dengan memberi tumpuan kepada temasya-temasya utama seperti Sukan Komanwel Birmingham 2022, Sukan Asia Hangzhou 2022, Sukan South East Asia (SEA) 2022 dan Sukan Olimpik Paris 2024.

"Elemen-elemen yang akan diberikan penekanan adalah kriteria pemilihan atlet, program latihan, pendedahan sukan, kejurulatihan dan perkhidmatan sains serta perubatan sukan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!