Rangnick bukan calon kemudi The Red Devil
PENGURUS sementara Manchester United, Ralf Rangnick tiada dalam senarai calon pengendali tetap The Red Devils.
Pengarah bola sepak United, John Murtough memberitahu, mereka kini sedang mencari pengganti tetap Ole Gunnar Solskjaer, yang dipecat November lalu.
Bagaimanapun katanya, mencari jurulatih tetap bukanlah objektif utama kelab memandangkan fokus utama kini tertumpu untuk merebut trofi utama.
"Kami sedang melalui proses melantik pengendali tetap yang akan memulakan tugas musim panas ini dengan sasaran membawa pasukan kembali bersaing untuk gelaran domestik dan Eropah.
"Bagaimanapun ia bukan objektif utama Manchester United dan semua orang di kelab ini fokus untuk bersaing merebut trofi utama," katanya.
Terdahulu, United melantik Rangnick sebagai pengendali sementara bagi menggantikan Ole Gunnar Solskjaer, yang dipecat pada November lalu.
Pengendali dari Jerman berusia 63 tahun itu, menandatangani perjanjian selama dua tahun sebagai penasihat di Old Trafford.
Bagaimanapun beliau mempunyai peluang yang tipis untuk dilantik sebagai ketua jurulatih tetap.
Difahamkan, bekas pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino merupakan calon utama bagi memegang jawatan itu, namun Rangnick lebih memandang tinggi kepada ketua jurulatih Ajax, Erik Ten Hag yang berjaya mengharungi lima tahun penuh kejayaan di Amsterdam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!