KKM semak, kemas kini kumpulan petugas barisan hadapan urus Covid-19
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyemak dan mengemas kini senarai kumpulan petugas barisan hadapan yang mengurus wabak Covid-19 bagi memperluaskan pemberian elaun khas kepada golongan itu.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, masih terdapat kumpulan kesihatan lain yang terlibat dalam pengurusan wabak itu selain doktor, jururawat dan pemandu ambulans ketika ini termasuk dalam kalangan petugas yang layak menerima elaun khas tersebut.
"Kumpulan yang layak menerima elaun khas ini akan disemak dan dikemas kini dari semasa ke semasa, contohnya ahli fisioterapi yang terlibat dalam rawatan pesakit ‘long Covid’ yang menepati kriteria untuk mendapat elaun khas tersebut,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Khairy berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) yang mahu beliau menyatakan pembayaran bonus kepada pekerja barisan hadapan dalam kalangan kakitangan kesihatan.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, sejumlah RM1.1 bilion Elaun Khas Covid-19 telah dibayar kepada petugas barisan hadapan kesihatan sehingga 31 Disember tahun lalu.
“Prinsip yang melayakkan pembayaran Elaun Khas Covid-19 adalah, doktor dan anggota kesihatan perlu diarahkan melaksanakan tugas dalam rantaian skop pengurusan wabak itu dan bayaran dibuat berdasarkan borang tuntutan yang dibuat oleh pegawai kepada Pusat Tanggungjawab (PTJ) masing-masing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!