Gadis rugi RM47,125 terpedaya tawaran pekerjaan palsu

Seorang gadis berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM47,125 lesap setelah terjerat dengan tawaran pekerjaan palsu yang menjanjikan pulangan lumayan. - Gambar hiasan, gambar kecil: Mohd Wazir
Seorang gadis berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM47,125 lesap setelah terjerat dengan tawaran pekerjaan palsu yang menjanjikan pulangan lumayan. - Gambar hiasan, gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang gadis berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM47,125 lesap setelah terjerat dengan tawaran pekerjaan palsu yang menjanjikan pulangan lumayan.

Mangsa yang tidak bekerja dan berusia 24 tahun itu berminat untuk mendapatkan pekerjaan tersebut selepas melihat satu iklan di dalam laman sosial Instagram pada 21 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menghubungi individu dikenali sebagai Ashley Ng yang mendakwa wakil kepada sebuah syarikat.

"Suspek kemudian meminta mangsa supaya membuat pembayaran mengikut tugasan yang diberikan dan menjanjikan pulangan semula bayaran berserta komisyen sebanyak 10 peratus.

"Tergoda dengan komisen yang tinggi itu, mangsa telah memasukkan wang tunai secara berperingkat ke dalam enam akaun bank suspek yang berbeza dianggarkan berjumlah RM47,125," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Mohd Wazir menjelaskan, selepas memindahkan semua wang simpanannya itu, mangsa gagal menghubungi suspek bermula pada 23 Februari sehingga kini.

“Mangsa yang berasa dirinya telah ditipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan pada Selasa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga 10 tahun selain sebatan dan denda jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!