RM25 juta atasi masalah bekalan air terawat di Negeri Sembilan

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM25 juta bagi mengatasi segera masalah bekalan air terawat berikutan kekerapan berlakunya gangguan bekalan air di Port Dickson kebelakangan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, masalah itu berpunca daripada penutupan Loji Rawatan Air Linggi.

"Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) telah membuat beberapa perancangan bagi mengatasi segera masalah bekalan air terawat ini iaitu menggantikan Raked Screen di Loji Rawatan Air (LRA) Linggi dengan anggaran kos RM5 juta.

"Seterusnya menggantikan 'Panel Switchboard' Elektrik di LRA Linggi dengan anggaran kos RM3 juta serta empat tangki perumahan yang sudah berusia dan rosak, kira-kira RM2 juta. Ketiga-ketiga projek ini dijangka siap pada Mac 2023," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Beliau berkata, selain itu pemasangan jajaran paip baharu dari Kolam Teluk Kemang ke Kolam Si Rusa sejauh 10 kilometer bernilai RM15 juta yang dijangka siap pada Jun 2023 turut dilaksanakan.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, hasil siasatan daripada Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri pada 30 Januari, 15 Februari dan 17 Februari lepas mendapati kawasan tanah tinggi yang mengalami runtuhan akibat bencana yang melanda di negeri ini pada Disember tahun lepas masih berada dalam keadaan yang tidak stabil.

"Apabila berlakunya hujan lebat di kawasan tanah tinggi tersebut, sisa-sisa runtuhan tanah tersebut dibawa air hujan dan mengalir masuk ke sungai berhampiran seterusnya masuk ke Sungai Linggi.

"Antara kawasan tanah tinggi yang terlibat adalah kawasan Gunung Berembun dan Bukit Tangga melibatkan jajaran Sungai Golai, Sungai Batang Penar, Sungai Jerlang dan Sungai Terip yang kemudiannya bertembung masuk ke Sungai Linggi.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, kita akan mengambil langkah jangka pendek termasuk meningkatkan kekerapan rondaan penguatkuasaan di kawasan sekitar Sungai Linggi dan sungai lain yang kebarangkalian tinggi menyumbang kepada kekeruhan air di Sungai Linggi," katanya.

Katanya, kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan Akta Air 1920 jika terdapat pemegang permit pengorekan pasir atau mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran tersebut.

"Tiada kelulusan baharu permit pengorekan pasir daratan atau pasir sungai di sepanjang Sungai Linggi akan dipertimbangkan.

"Bagi langkah jangka panjang, kita telah merancang untuk membina struktur takungan sedimen di bahagian hulu Sungai Gunung Berembun bagi mengurangkan kadar sedimen yang tinggi mengalir masuk ke Sungai Linggi. Tindakan lanjut bagi perancangan ini sedang disusuli BKSA," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!