Serangan Christchurch: Facebook, Twitter, YouTube, Microsoft dipanggil beri penjelasan
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT . Panel kongres Amerika Syarikat (AS) berkata ia meminta eksekutif kanan daripada syarikat teknologi AS untuk menjelaskan tentang berleluasanya video kejam serangan pengganas di New Zealand yang disiarkan secara langsung di Facebook dan kemudian tersiar semula di platform lain.
Jawatankuasa Keselamatan Negara meminta satu taklimat oleh empat eksekutif teknologi, menyifatkan ia sangat penting untuk menapis imej ganas yang disiarkan dalam video itu.
Panel itu meminta taklimat daripada CEO Facebook Mark Zuckerberg, CEO YouTube Susan Wojcicki, CEO Twitter Jack Dorsey dan CEO Microsoft Satya Nadella.
Pengerusi jawatankuasa itu Bennie Thompson berkata sukar untuk mengetahui tentang video yang sedang tular itu walaupun komitmen dilakukan oleh Forum Internet Global untuk Anti Keganasan.
“Hanya minggu lalu, hampir dua tahun anda membentuk GIFTC – seorang pengganas mengeksploitasi platform anda untuk menyebarkan kepada dunia video dahsyat keganasan besar-besaran,” katanya dalam satu surat diedarkan kepada media.
Dalam serangan di dua masjid di Christchurch itu, 50 jemaah terbunuh, dengan penembaknya menyiarkan video menerusi Facebook Live, yang kemudiannya dimuat naik semula ke platform media sosial lain.
Facebook berkata ia memadam 1.5 juta video menunjukkan rakaman menakutkan berkaitan serangan Christchurch yang menjadi tular.
Siaran langsung video itu ditonton kurang 200 kali tetapi platform media sosial lain tidak dapat menghalang video itu daripada ditonton secara meluas. – AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!