Krisis Rusia-Ukraine: Dorong harga MSM cecah paras tertinggi: MPOB
Pada 1 Mac, harga awal MSM harian mencatatkan paras tertinggi baharu pada RM7,600 satu tan metrik dengan kontrak dagangan tertinggi dan terendah masing-masing pada RM7,700 satu tan metrik dan RM7,500 satu tan metrik.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, harga minyak mentah Brent diniagakan lebih tinggi pada US$115.58 setong semalam berbanding AS$103.87 setong pada 28 Februari.
"Harga minyak mentah Brent mula diniagakan melebihi AS$100 setong pada 7 Februari. Harga minyak mentah Brent yang lebih kukuh di pasaran dunia menjadikan minyak sawit pilihan lebih menarik untuk bahan mentah biodiesel sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga MSM," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata faktor lain yang menyebabkan kenaikan harga MSM adalah trend kenaikan harga minyak kacang soya di pasaran global keraba ia bersaing untuk mendapatkan bahagian dalam pasaran.
Harga minyak kacang soya diniagakan lebih tinggi sebanyak 3.5 peratus kepada AS$1,508 setan metrik pada Januari 2022 berbanding AS$1,457 setan metrik pada Disember 2021, harga minyak kacang soya didagangkan lebih tinggi pada AS$1,804 setan metrik pada 1 Mac.
Dalam pada itu, India, selain menjadi pasaran yang sensitif harga, negara itu juga mengimport minyak sayuran yang banyak untuk memenuhi permintaan penduduknya. Selain minyak sawit yang diperoleh dari Indonesia dan Malaysia, India turut mengimport minyak sayuran lain seperti minyak kacang soya dari Argentina dan Brazil serta minyak bunga matahari dari Rusia dan Ukraine.
Ahmad Parveez berkata, konflik Rusia-Ukraine dijangka menyebabkan kelewatan penghantaran minyak bunga matahari, ia boleh mendorong India untuk meningkatkan import minyak sawit untuk atas sebab tersebut.
"Permintaan yang lebih tinggi untuk minyak sawit akan menyumbang kepada penurunan stok minyak sawit dan membawa kepada kenaikan harga MSM,” katanya.
Pengeluaran MSM yang lebih rendah turut menyumbang kepada harga MSM yang lebih tinggi ketika ini.
Pada Januari 2022, pengeluaran MSM susut sebanyak 13.5 peratus kepada 1.25 juta tan metrik berbanding 1.45 juta tan metrik pada Disember 2021 disebabkan musim tengkujuh dan kekurangan tenaga buruh di ladang kelapa sawit terutamanya semasa aktiviti penuaian dan pengutipan tandan buah segar (FFB).
Beliau berkata, harga MSM yang tinggi ketika ini telah menyebabkan pendapatan lebih tinggi dalam kalangan pemain industri termasuk pekebun kecil kelapa sawit dan perladangan.
Ia juga menyediakan pendapatan tambahan kepada kerajaan melalui hasil cukai lebih tinggi daripada duti eksport MSM, levi keuntungan luar biasa dan cukai korporat.
Selain itu, harga MSM yang lebih tinggi juga membawa kepada pendapatan eksport lebih tinggi, ia memberi manfaat kepada ekonomi sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi.
Berdasarkan faktor asas dan sentimen semasa, MPOB menjangkakan harga MSM akan kekal antara RM5,000-RM8,000 sehingga April hingga Mei 2022 sebelum kembali stabil ketika musim pengeluaran tinggi MSM.
"Harga MSM diunjurkan pada purata RM4,250 setan metrik pada tahun 2022,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!