Pola pengundian pengundi muda di PRN Johor jadi indikator PRU15

Mohd Azizuddin
Mohd Azizuddin
A
A
A

SHAH ALAM- Pola pengundian pengundi muda khususnya yang berusia 18 hingga 20 tahun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka akan menjadi daya penarik dan indikator bagi parti-parti menuju kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, golongan berkenaan adalah pertama kali mengundi dan tiada tradisi kepada mana-mana parti.

Justeru katanya, keputusan yang dibuat akan ditentukan oleh pelbagai faktor termasuk faktor isu yang diketengahkan, calon yang bertanding dan mengundi mengikut kawan.

“Daripada tinjauan yang dibuat, kita dapati golongan muda ini teruja untuk mengundi dan ini sebenarnya satu perkembangan yang baik. Kalau dilihat, orang muda sering dikaitkan dengan sikap agresif tapi di Johor ini, kita nampak keterujaan mereka untuk mengundi. Cuma, apa pendorongnya untuk mereka mengundi?

“Kita dapati faktor rakan sebaya atau mengikut kawan juga menjadi pendorong. Sebab itu walaupun PRN ini hanya melibatkan Johor, tapi ia menjadi isu nasional yang menarik minat ramai untuk melihat sejauh mana pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun ini keluar mengundi,” katanya sewaktu menjadi jemputan dalam Program Minda Profesor Negara (MPN), yang bertajuk ‘PRN Johor: Apakah makna kepada masa depan pengundi?’ yang diadakan secara dalam talian.

Program itu dikendalikan Felo MPN, Dr Muhammad Asri Mohd Ali dan turut menampilkan dua panelis lain iaitu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Hamidin Abdul Hamid.

Melihatkan kepada isu yang menjadi tumpuan, Mohd Azizuddin berkata, golongan muda banyak membincangkan isu-isu nasional dan ekonomi.

Dari segi pengaruh parti pula katanya, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mempunyai daya tarikan di bandar, namun kurang daya tarikan di pinggir dan luar bandar yang lebih terarah kepada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Artikel Berkaitan:

“Faktor pengundian pengundi muda pula tidak semestinya tertumpu kepada parti politik, tetapi boleh juga kepada faktor isu yang diketengahkan, ikut kawan dan faktor calon juga boleh diambil kira.

“Ini yang sukar diramal dan bentuk pengundian mereka nanti akan menjadi daya tarikan kepada parti-parti yang bertanding dan saya percaya, ia akan menjadi indikator untuk mereka pada PRU15 akan datang,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!