'Pindah keahlian ke Cabang PD, kehendak saya sendiri' - Aminuddin

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat, Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan perpindahan keahliannya dari Cabang Tampin ke Cabang Port Dickson pada 31 Januari lalu merupakan kehendak sendiri.

Aminuddin menyifatkan dalam politik, perpindahan adalah perkara biasa dan tiada campur tangan kepimpinan parti di peringkat Pusat.

"Saya sendiri tanda tangan, kenapa saya mahu katakan parti arahkan, saya mengakui memilih jalan sendiri.

"Dalam politik kita tidak semestinya duduk di satu tempat, kita rasa, kita nak pindah, pindahlah, kadang-kadang orang dari luar pun bertanding di Negeri Sembilan, orang Negeri Sembilan pun bertanding di luar, itu tidak jadi masalah, dalam politik itu biasa," katanya kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Beliau turut mengesahkan jawatannya sebagai Ketua Cabang Tampin juga sudah tergugur dan kini dipangku oleh Timbalan Ketua Cabang Tampin sehingga pemilihan parti berlangsung.

Dalam pada itu, Aminuddin menjelaskan terpulang kepada persepsi masing-masing apabila terdapat dakwaan sesetengah pihak keputusan itu (pindah keahlian) bagi membolehkan beliau bertanding di Parlimen Port Dickson dalam Pilihan Raya Umum (PRU15) akan datang.

"Selalunya orang akan fikir lebih daripada apa seharusnya mereka fikir, mereka kata saya mahu bertanding di Parlimen (Port Dickson), saya mahu pergi jauh dalam karier, saya tidak fikir itu pun tetapi orang akan fikir begitu. Saya pulangkan kepada mereka, itulah dinamik politik.

"Orang boleh buat bermacam-macam persepsi tetapi itu tidak penting bagi saya, yang penting adalah untuk kita terus berbakti kepada masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan, Aminuddin telah berpindah keahliannya ke Cabang Port Dickson sejak akhir bulan lalu.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk M Ravi yang juga merupakan Ketua Cabang Port Dickson.

Aminuddin yang juga Menteri Besar merupakan wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat sejak 2008 yang mana beliau juga merupakan Ketua Cabang Tampin sejak tahun 2018.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata kerajaan negeri masih membenarkan individu yang sudah lengkap menerima vaksin Covid-19 untuk menunaikan solat Jumaat di mana-mana masjid dan surau di negeri ini.

"Hanya dua dos lengkap sahaja dibenarkan masuk ke masjid dan kita harap ahli jemaah hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!