Rosmah tidak yakin hakim dapat beri keputusan adil

ROSMAH MANSOR
ROSMAH MANSOR
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, mereka tidak yakin Hakim Mahkamah Tinggi dapat memberi keputusan yang adil dalam perbicaraan pengubahan wang haram, dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor.

Peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata demikian ketika hujahan kes pengubahan wang haram dan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membabitkan Rosmah.

Firoz Hussein yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu berkata, Rosmah bimbang hakim Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar empat kes dihadapinya, dapat memberi keputusan yang saksama.

Peguam itu juga berkata, permohonan kedua anak guamnya tidak boleh dikatakan menyalahgunakan proses mahkamah kerana bersandarkan alasan berbeza.

Menurutnya, ada risiko kes lucut hak harta Rosmah dan keluarganya berkaitan Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan mempengaruhi hakim Mohamed Zaini.

“Selain kes lucut hak harta itu, Yang Arif turut mendengar kes laporan audit terhadap suami anak guam saya, Datuk Seri Najib Razak.

“Kami bukan mempersoalkan integriti Yang Arif tetapi ini adalah soal kelemahan manusia, kerana Yang Arif sudah mendengar keterangan saksi dan bukti terhadap tertuduh dan keluarganya,” katanya.

Dalam pada itu, pasukan pendakwaan memohon hakim Mohamed Zaini tidak menarik diri.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, hakim perlu kekal kerana keterangan kes pengubahan wang haram yang dihadapi Rosmah, belum didengar.

Menurutnya, hakim Mohamed Zaini sudah memutuskan bahawa kes projek tenaga solar dan pengubahan wang haram adalah unik, berbeza dan tiada kaitan antara satu sama lain.

“Ini menunjukkan berlaku menyalahgunakan proses mahkamah memandangkan telah memutuskan permohonan sama tahun lepas.

“Oleh itu kami menyatakan permohonan kali kedua oleh pihak pembelaan, supaya Yang Arif menarik diri daripada mendengar kes ini (pengubahan wang haram) ditolak,” katanya.

Pada Disember tahun lalu, hakim Mohamed Zaini menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkannya daripada mendengar kes.

Rosmah membuat permohonan itu dengan alasan, bimbang sekiranya wujud risiko berat sebelah.

Menurutnya, keterangan yang dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan kes rasuah berkaitan projek tenaga solar dikhuatiri akan mempengaruhi hakim dalam kes pengubahan wang haram.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan 21 Mac depan untuk keputusan.

Rosmah, 71, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!