Tiada warga kerja TNB disogok, hanya menyamar

Laporan Sinar Harian pada Selasa. (Gambar kecil: Ir Baharin Din)
Laporan Sinar Harian pada Selasa. (Gambar kecil: Ir Baharin Din)
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan ada kakitangannya menerima sogokan dari sindiket mencuri elektrik membabitkan perlombongan ‘bitcoin’.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, apa yang berlaku sebenarnya adalah kaedah operasi sulit yang dijalankan TNB bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memerlukan intipan secara penyamaran (undercover) untuk memerangkap dan mendedahkan kegiatan sindiket itu.

Menurutnya, berlaku kekeliruan yang mungkin disebabkan salah faham dan kesilapan laporan sebahagian media mengenainya yang kemudian tular di media sosial.

“Kami merujuk kepada laporan akhbar berkaitan operasi bersama TNB dan SPRM bagi membanteras sindiket mencuri elektrik membabitkan perlombongan ‘bitcoin’.

“Hakikatnya, kaedah operasi sulit TNB bersama SPRM ini memerlukan intipan secara penyamaran (undercover) dibuat untuk memerangkap dan mendedahkan kegiatan sindiket ini. Tiada warga kerja TNB yang ditahan kerana disahkan tiada yang menerima habuan dari anggota sindiket,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada masa sama, Baharin berterima kasih kepada SPRM dan TNB yang terlibat dalam operasi berkenaan yang mengambil masa lebih dua tahun, sehingga tindakan undang-undang dapat diambil terhadap mereka yang terlibat.

Katanya, inisiatif bersama itu membuahkan hasil dengan tertangkapnya 18 individu melibatkan 7,209 kes sejak 2018.

"Operasi sulit itu juga telah membolehkan SPRM membekukan 126 akaun bank bernilai RM4.47 juta membabitkan 97 individu serta 29 syarikat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, daripada 18 dalang sindiket yang ditangkap, salah seorang daripadanya mempunyai 500 unit rumah kedai yang disewa untuk aktiviti perlombongan ‘bitcoin’ secara haram.

“Pengurusan TNB juga berbangga dengan integriti tinggi warga kerja TNB yang memaklumkan kepada pengurusan mengenai pelbagai cubaan anggota sindiket untuk menyogok pasukan mencegah kecurian elektrik TNB. Perkongsian tersebut membawa kepada operasi bersama SPRM.

“SPRM memerlukan masa untuk membina kes yang kukuh bagi mengesan dan memerangkap dalang dan ketua sindiket, bukan sekadar operator atau pekerjanya. Kejayaan operasi bersama SPRM dan TNB itulah yang diumumkan dalam media semalam,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!