Runding segera buka sempadan Malaysia- Singapura

MOHD KHALED
MOHD KHALED
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Malaysia perlu melakukan rundingan segera dengan kerajaan Singapura berhubung pergerakan rentas sempadan demi merancakkan semula aktiviti ekonomi khususnya di Johor.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berkata, Johor Bahru dan masyarakat sekitarnya sangat memerlukan pembukaan segera tambak Johor dan Lintasan Kedua.

Beliau berkata, satu perkara yang menarik perhatian dalam manifesto BN Johor ialah ikhtiar untuk menyegerakan pembukaan sempadan di antara Johor - Singapura demi menyemarakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan Malaysia Singapura.

"Johor Bahru telah jadi bandaraya lesu dan malap semenjak dua tahun lepas tanpa aktiviti ekonomi yang aktif dan pergerakan manusia rentas sempadan.

“Lihat sahaja Johor Bahru City Centre (JBCC) dan pelbagai pusat beli-belah serta kedai sekitar bandaraya Johor Bahru. Saya tidak pernah terbayang ia akan separah ini.

“Tiada dorongan dan rangsangan ekonomi dapat memulihkan Johor Bahru tanpa pembukaan sempadan kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Menurutnya, rakyat sudah mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) untuk berdepan pandemik Covid-19 bermula dengan pengambilan vaksin, dos penggalak dan sebagainya

“Namun hidup harus diteruskan. Ada masa depan untuk dibina, ada mulut perlu disuap, ada cita-cita ingin dicapai. Semua ini tidak boleh ditewaskan dengan virus Covid-19 ini.

Artikel Berkaitan:

“Semoga Perdana Menteri dan kabinetnya segera melakukan apa yang sepatutnya dilakukan untuk sempadan kita demi kelangsungan hidup rakyat, perniagaan dan pelaburan,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, Johor mesti melupakan ‘the new normal’ dan kembali kepada kehidupan biasa yang sesuai, selari dan seiring fitrah manusia sebagai makhluk sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!