Projek tebatan banjir fasa 2 RM1.3 bilion di Pasir Mas, Tumpat
PASIR MAS - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengemukakan cadangan untuk melaksanakan projek tebatan banjir fasa dua membabitkan kos RM1.3 bilion di dua daerah, iaitu Pasir Mas dan Tumpat, Kelantan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata projek berkenaan dijangka akan menyelesaikan masalah banjir yang melanda Pasir Mas dan Rantau Panjang yang merupakan sebahagian daripada daerah itu serta Tumpat.
Katanya projek tebatan banjir fasa dua merupakan kesinambungan kepada projek fasa satu yang sedang berjalan di Rantau Panjang membabitkan kos RM600 juta.
"Projek tebatan fasa dua berjumlah RM1.3 bilion sedang diteliti untuk mendapatkan bajet. Kalau bajet lulus isu berkaitan banjir di tiga kawasan tersebut dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat keadaan banjir di Jajahan Pasir Mas dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Gelang Mas, di sini pada Rabu.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!